Anda di sini

Fazzrudin yakin 20 pemain mampu galas misi SUKMA

Advertisement
 Fazzrudin (duduk tengah) sempat merakam kenangan bersama barisan Exco KDFA.
CERIA: Fazzrudin (duduk tengah) sempat merakam kenangan bersama barisan Exco KDFA.

KUCHING: Pengurus skuad bola sepak SUKMA Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman yakin 20 pemain yang dipilih mampu menggalas misi Sarawak untuk memburu pingat emas pada temasya di Ipoh, Perak pada September nanti.

Menurut ADUN Tupong itu, barisan skuad tersebut mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri kerana pemain yang dipilih merupakan hasil gabungan dari skuad senior, Piala Presiden, Piala Belia dan Kuching FA.

“Kita turut memanggil beberapa pemain Sarawak yang menyertai kelab luar, namun tidak berjaya kerana kebanyakan mereka masih terikat dengan kontrak kelab masing-masing.

“Apapun, saya percaya barisan pemain yang dipilih ini mampu menggalas cabaran kita sekali gus merealisasikan pemburuan pingat emas,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Berbuka Puasa bersama Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) di sini kelmarin.

Menyentuh persiapan skuad, Presiden KDFA itu berkata skuad itu telah memulakan latihan, namun tidak melibatkan kesemua pemain sejak 5 Jun hingga 10 Jun di Stadium Negeri, Petra Jaya.

Katanya, latihan berpusat pemain akan diadakan sepenuhnya selepas saingan Piala Presiden dan Piala Belia berakhir.

“Kita akan meningkatkan rejim latihan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memantapkan persiapan pemain. Saya mahu pemain akan lebih fokus selepas ini terhadap latihan kerana masa kian suntuk,” katanya.

“Sebagai pendedahan, kita akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan kelab yang bermain dalam Piala FAM iaitu PJ Rangers dan Selangor United pada Ogos depan.”

Senarai penuh pemain Sarawak ialah Shaiful Wazizi Mohamad, Andy Nicolas Nipen, Aquilla Abdul Rahman (penjaga gol), Stevenson Unggah, Rudy Racha Ragai, Willy Meling Rabbit, Rivaldo Adrill Wilson, Muhammad Firdaus Fauzi, Mohd Zainuddin Bohri (pertahanan), Awang Syahriman Awang Ahmad, Mohammad Adif Salim, Mohd Nur Aliff Kepli, Sulaiman Jamali, Mohammad Yunus Hasan, Hendry Amir Simon (tengah), Amirul Iqml Bolhi, Gibson Billy, Amar Muaz Zamri, Muhammad Yazid Ahzhar dan Georgi Kinkladze Tom (penyerang).

Empat pemain simpanan Ahmad Uzair Zaidil (penjaga gol), Abdul Rahman Ismawi, Mohd Fazarul Mahathir (pertahanan) dan Amir Amri Salleh (tengah).

Manakala barisan pegawai lain terdiri daripada Iswandi Ali Hassan (Penolong Pengurus), Ahmad Fairuz Mohd Yunus (Ketua Jurulatih), Ibrahim Mantali (Penolong Jurulatih 1), Zulkarnain Poasa (Penolong Jurulatih 2), Nizam Mahmud (Penolong Jurulatih 3), Mohd Azley Abdullah (Jurulatih Penjaga Gol dan Kecergasan), Gary Nyelang (Fisioterapi), Iswandi Fauzan (Pegawai Logistik) dan Awang Addin Awang Sufian (Koordinator).

Advertisement