Anda di sini

Bentuk sahsiah kanak-kanak

Advertisement

Tingkatkan penghayatan al-Quran
 

SANDAKAN: Penghayatan menerusi pendidikan al-Quran di peringkat awal usia dapat membina sahsiah kanak-kanak dan melatih mereka menjadi penganut agama Islam sejati.

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Arunarnsin Taib berkata ibu bapa wajar menyemai amalan membaca, memahami dan menghayati ajaran al-Quran pada peringkat awal kanak-kanak sebelum mereka meningkat dewasa.

ARUNARNSIN berucap pada majlis berkenaan.
ARUNARNSIN berucap pada majlis berkenaan.

“Penghayatan al-Quran pada peringkat awal termasuk menghafaz semua juzuk kitab suci ini sewajarnya dijadikan sebagai amalan harian selari dengan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata pengetahuan tentang al-Quran yang disertai amalan solat dapat membentuk iman dan takwa sekali gus sebagai benteng mereka daripada melakukan perkara mungkar semasa alam remaja serta dewasa.

Arunarnsin berkata kepada media selepas merasmikan Sambutan Nuzul Al-Quran Pusat Pengajian Darul Hasanah Batu 12 Rancangan Sungai Manila.

Dalam pada itu, Arunarnsin yang juga Adun Gum-Gum berkata sudah tentu setiap ibu bapa menginginkan masa depan yang cerah bagi anak masing-masing.

Ia kerana katanya, pendidikan merupakan aspek utama diberikan penekanan dalam usaha membentuk anak supaya menjadi individu yang berjaya dalam hidup.

“Ibu bapa diminta terus menggembleng tenaga untuk membantu kecemerlangan akademik anak-anak tanpa meletakkan sepenuhnya tugas mendidik di atas bahu guru,” katanya.

Beliau berkata beban yang ditanggung oleh golongan guru kini amat berat dan untuk itu ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk mendidik, mengasuh dan memotivasikan anak-anak mereka untuk berjaya.

Katanya, sebagai contoh ikutan atau ‘role model’ kepada anak-anak, ibu bapa seharusnya tidak menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pihak sekolah semata-mata.

 ARUNARNSIN menyampaikan cenderaharti kepada Imam Haji Nasran. Turut kelihatan Pengasas PusaPengajian Darul Hasanah, PU Azihal Bangsawan (kanan).
ARUNARNSIN menyampaikan cenderaharti kepada Imam Haji Nasran. Turut kelihatan Pengasas PusaPengajian Darul Hasanah, PU Azihal Bangsawan (kanan).

“Pihak sekolah dan ibu bapa perlu melangkah bersama dan bergerak seiring untuk menentukan kejayaan anak-anak,” katanya.

Justeru katanya, dalam usaha membentuk modal insan berkualiti, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tidak boleh hanya bergantung kepada pihak sekolah sahaja, tetapi memerlukan kerjasama dan penglibatan institusi keluarga iaitu melalui peranan dimainkan ibu bapa.

“Hal ini penting kerana keluarga merupakan asas dalam menentukan dasar pembinaan akhlak anak-anak. Bermula dari peringkat awal pembesaran sehingga meningkat remaja, anak memerlukan contoh teladan baik terutama daripada ibu bapa mereka sendiri.

“Di sinilah peranan ibu bapa dalam mendampingi anak-anak dan memberi pendidikan serta menerapkan nilai-nilai akhlak,” katanya.

Beliau menambah jika ibu bapa tidak mengambil berat dan bersikap sambil lewa, tidak hairanlah anak-anak mudah terdedah lalu terjebak dengan gejala rosak akidah, hilang kemuliaan akhlak serta maruah.

Justeru, semua pihak terutamanya ibu bapa seharusnya kembali melihat kepentingan didikan akhlak dan moral menerusi pendidikan al-Quran sebagai agenda utama untuk disediakan kepada anak-anak.

SEBAHAGIAN peserta bergambar bersama Arunarnsin serta guru-guru.
SEBAHAGIAN peserta bergambar bersama Arunarnsin serta guru-guru.

Pada majlis itu, sebanyak 10 jemputan menyertai sambutan berkenaan iaitu Maahad Tahfiz Quran Al-Itqar Wal Luqhah, Maahad Tahfiz Quran Waasunnah Taman Merpati Batu 7, Maahad Tahfiz Dar Al-Hijrah Batu 10, Maahad Tahfiz Nurul Quran Darul Ilmi Batu 4, Maahad Tahfiz Al-Tamani Kampung Gas Batu Sapi, Sekolah Agama Rakyat Pondok Pesantrern Nurul Ihsan, Sekolah Agama Islam Al-Raudah, Majlis Perwakilan Pelajar SMKA Tun Juhar, Belia Masjid Fatuk Haji Basrah PPR Sungai Manila, Belia Masjid Raya Seri Aman Pekan Muhibbah dan Belia Masjid Saidina Ali Taman Mesra.

Imam Haji Nasran yang merupakan imam Masjid Jamek Sandakan telah menjadi penceramah jemputan. Aktiviti dilaksanakan iaitu majlis Khatam Al-Quran, tazkirah khas Nuzul Al-Quran dan majlis berbuka puasa bersama Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah.

  • oleh
  • Advertisement