Anda di sini

Tujuh remaja termasuk dua budak lelaki didakwa merompak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lima remaja dan dua budak lelaki  didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas pertuduhan merompak sehingga mencederakan seorang lelaki Pakistan, bulan lepas.

Mohamad Zulkifar Zulkefli,19, Mohamad Zulkarnain Rosli,18, dan lima lagi  di bawah umur iaitu dua budak lelaki  berusia 12 tahun, seorang  berumur 13 tahun dan dua lagi berusia 15 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan dan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap pekerja kontrak warga Pakistan, Muhammad Abrar, 31.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jejantas LRT Sungai Besi, di sini, pada 11 malam, 21 Mei lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua remaja dan budak lelaki lelaki itu.

Peguam K. Komagan yang mewakili Mohamad Zulkarnain dan lima juvana lain memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah mengambil kira faktor kewangan keluarga kesemua mereka yang sederhana.

“Kesemua mereka berjanji akan hadir pada setiap prosiding mahkamah dan pihak kami juga tiada bantahan sekiranya mahkamah ingin memberikan syarat tambahan,” katanya.

Mohamad Zulkifar yang tidak diwakili peguam turut merayu diberikan jaminan.

Mahkamah membenarkan empat juvana dan Mohamad Zulkarnain diikat jamin RM1,200 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan seminggu sekali selain dilarang mengganggu saksi pihak pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, Mohamad Zulkifar dan seorang juvana berusia 15 tahun tidak dibenarkan diikat jamin kerana tiada anggota keluarga mereka yang hadir sebagai penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Jun untuk sebutan semula kes itu. — Bernama

Advertisement