LABUAN: Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha (SKRR) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) telah mengadakan Majlis Penutupan Ihya Ramadan yang diadakan di dewan sekolah itu pada Rabu.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Unit Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri WP Labuan (JPNWPL) Ustaz Mohd Syahir Mohd Yusof.
Turut hadir, Timbalan Pengurus Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Radzaleih Matusin, Pegawai FasiLINUS JPNWPL yang juga Pegawai Angkat Sekolah Afandi Nasir dan Yang Dipertua PIBG Mohd Rasid Haji Jaludin.
Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai aktiviti yang telah dijalankan bagi melahirkan murid dan warga SKRR yang mengimarahkan bulan Ramadan dan sentiasa memanfaatkan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT serta menyedarkan diri tentang adanya balasan baik daripada Allah dalam setiap usaha mendekatkan diri kepada-Nya.
Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Program Ihya’ Ramadan, Tadarus Quran, Iftar Jama’ie, Solat Hajat dan Majlis Bacaan Yaasin UPSR 2018, Kuliah Lima Minit (KULLIM) yang disampaikan oleh murid dan kutipan derma atau galakan bersedekah (Tabung Ihya’ Ramadan).
Guru Besar Norinnie Kassim berkata, program itu sangat memberi manfaat kepada murid dan guru memandangkan Ramadan bulan yang Allah janjikan kepada seluruh umat manusia untuk mendapat pahala berlipat kali ganda.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam memberi sumbangan kewangan, masa dan tenaga bagi memastikan program sepanjang Ramadan itu berjalan dengan baik dan lancar.
Syahir dalam ucapannya berkata, mereka perlu mengingatkan sesama agar bersama-sama mengejar manfaat dan keberkatan bulan yang mulia ini seperti melakukan solat sunat tarawikh dan tadarus al-Quran.
"Adalah perlu bagi kita memahami dan menghayati intipati kitab suci ini melalui tadabbur al-Quran," katanya.
Selain itu, beliau berkata sebagai rakyat Malaysia terutama umat Islam seharusnya bersyukur kerana dapat menunaikan ibadah puasa dan melaksanakan amalan lain dalam suasana yang aman dan makmur, tidak seperti di negara Palestin, Syria dan di negara lain yang sedang bergolak.
Sejurus tamat ucapan daripada Syahir, majlis diisi dengan penyerahan replika cek oleh Mohd Radzaleih, wakil MAIWP bagi peruntukan bantuan baik pulih surau sekolah Musolla Nurul Iman SKRR bernilai RM10,000 dan Bantuan Sekolah bernilai RM2,535 kepada Guru Besar SKRR.
Majlis diteruskan dengan khatam Quran yang disertai seramai 40 murid Tahun 6 kerana berjaya khatam 30 juzuk al-Quran semasa program tadarus yang diadakan sepanjang bulan Ramadan.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada murid tadarus al-Quran, berpuasa penuh dan kuliah lima minit. Turut diadakan penyerahan bantuan kepada lima anak yatim dan 26 murid miskin.