Anda di sini

Sekolah terjejas banjir diminta sediakan laporan kerosakan

Advertisement

PENAMPANG: Semua sekolah terjejas banjir diminta menyediakan laporan dengan memaklumkan setiap kerosakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah secepat mungkin.

Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Jenifer Lasimbang berkata, langkah itu bagi membolehkan pihak berkaitan melaksanakan kerja penilaian tahap kerosakan dan seterusnya proses membaik pulih.

“Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony juga meminta kita untuk mempercepatkan proses penilaian kerosakan bagi memastikan bangunan sekolah terjejas ini selamat untuk digunakan semula.

“Jadi, kita mahu mengenal pasti struktur bangunan yang sudah tidak selamat lagi dan meminta kerjasama pihak sekolah memaklumkan kerosakan dialami untuk kita perbaiki secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kibabaig, di sini pada Isnin.

Jenifer yang juga ADUN Moyog berkata pihaknya mengenal pasti beberapa kawasan yang turut terlibat dalam program pasca banjir yang berlangsung sehari itu.

Katanya, program gotong-royong itu meliputi kawasan Kampung Kolopis serta sepanjang jalan Kampung Dabak, termasuk kawasan Penampang Proper.

“Seramai 180 orang terlibat dalam program hari ini (Isnin) yang mana kita membahagikan anggota di setiap kawasan yang terjejas banjir.

“Antara pihak yang terlibat termasuklah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang Mojuntin Ebin berkata, sebanyak empat sekolah terjejas akibat banjir kilat yang berlaku pada 31 Mei lepas.

Katanya, antara sekolah terlibat adalah SK Kibabaig, Sekolah Menengah (SM) St Michael, SK St Theresa Inobong dan SK Sugud.

“Setakat ini, masa pembelajaran di sekolah terlibat tidak dapat mengikut jadual waktu ekoran kita masih lagi melaksanakan aktiviti pembersihan sejak Sabtu lalu sehingga sekarang.

“Memandangkan anggota tidak mencukupi, kami harapkan akan ada pihak NGO di luar sana untuk membantu sekolah yang terlibat banjir ini membersihkan kawasan sekolah ini,” katanya.

Bagi SK Kibabaig sahaja, seramai 335 murid yang menggunakan tingkat bawah bangunan sekolah berkenaan terpaksa dipindahkan ke kelas lain serta dewan sekolah buat sementara waktu.

Advertisement