Anda di sini

'Saya wakil rakyat untuk semua'

Advertisement

Arunarnsin berkhidmat kepada rakyat DUN Gum Gum tanpa mengira status
 

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gum-Gum Arunarnsin Taib akan berkhidmat sebagai wakil rakyat kepada rakyat di kawasan diwakilinya tanpa mengira status seseorang itu.
Beliau menegaskan perkara itu apabila berkata, “Saya adalah wakil rakyat untuk semua rakyat di DUN Gum-Gum."

Beliau juga mahu rakyat di kawasan DUN Gum-Gum terus bersatu padu dan sentiasa bekerjasama serta mengeratkan silaturahim dalam memastikan kawasan itu dapat dibangunkan bersama-sama.

Arunarnsin menyampaikan bantuan kepada penduduk yang layak.
Arunarnsin menyampaikan bantuan kepada penduduk yang layak.

“Saya tidak mahu ada wujudnya team A dan team B dalam kalangan rakyat di DUN Gum-Gum kerana ini akan menyebabkan perpecahan dan sekaligus akan membantutkan segala perancangan serta usaha kerajaan menyediakan bantuan dan pembangunan.

“Saya mahu rakyat eratkan silaturahim, kita lupakan apa yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) lepas. Saya kini adalah wakil rakyat di sini, jadi perkhidmatan saya adalah untuk rakyat,” katanya ketika menyampaikan 150 bantuan daripada Pusat Zakat dan Parti Warisan Bahagian Libaran kepada fakir miskin di Kampung Banting.

Arunarnsin yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan tidak mahu ada jurang antara ia dengan rakyat, sebaliknya mereka (rakyat) harus memberi kerjasama yang baik kepadanya dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Mengulas penyampaian sumbangan yang dilaksanakan, beliau berkata ia sebagai permulaan pihaknya menyalurkan bantuan kepada rakyat selepas memenangi kerusi DUN Gum-Gum pada PRU 9 Mei lalu.

Katanya, usaha seumpama bukan sahaja akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa malah akan memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang layak tanpa memilih fahaman politik, kaum dan agama.

Para pemimpin masyarakat bergambar bersama Arunarnsin.
Para pemimpin masyarakat bergambar bersama Arunarnsin.

Kerajaan akan melakukan kajian punca kegagalan kerajaan terdahulu menaiktaraf jalan dan menyalurkan bekalan air bersih di empat kampung iaitu Banting, Dandulit, Sungai Beruang dan Kuala Gum-Gum dalam Zon Dandulit di DUN Gum-Gum.

Mengenai isu pembangunan, Arunarnsin berkata kajian perlu dilakukan berikutan keempat-empat kampung sudah lama diwujudkan, namun sehingga kini masih belum menikmati jalan raya berturap dan bekalan air paip bersih.

Beliau berkata pihaknya juga akan berusaha menyediakan keperluan lain seperti mewujudkan sebuah pondok polis dan klinik desa untuk kegunaan masyarakat di kawasan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement