Anda di sini

Pecah amanah: Lelaki diarah bela diri

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan seorang lelaki tempatan membela dirinya atas pertuduhan pecah amanah menggunakan wang syarikat sebanyak RM8,347.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu terhadap John Ebiet Bachee, 31, setelah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Prosiding berkenaan diteruskan walaupun tanpa kehadiran tertuduh, sesuai dengan peruntukan Seksyen 425 A Kanun Prosedur Jenayah, yang mula dilaksanakan Mac tahun lalu.

Tertuduh gagal hadir ketika perbicaraan bermula pada 28 Februari, dan waran tangkap dikeluarkan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, John sebagai pekerja yang diamanahkan wang itu, didakwa mengambil hasil kutipan jualan untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan dilakukan pada 11 hingga 20 Februari 2016 di Syarikat Smart Borneo (M) Sdn Bhd, Jalan Bundusan-Penampang, di sini.

John berhadapan dengan tempoh pemenjaraan selama tempoh 14 tahun dan sebat, atau denda, jika sabit salah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Mahkamah menetapkan pada 9 Julai untuk semakan waran tangkap terakhir terhadap tertuduh.

Pendakwaan itu dilakukan Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Halim.

Sementara itu, 48 warga asing antaranya lima wanita dikenakan penjara empat bulan hingga lima bulan dan satu sebat, atas kesalahan memasuki negara secara haram.

Mereka dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun tiada sebatan dikenakan terhadap wanita dan mereka berusia 20 tahun ke bawah dan 50 tahun ke atas.

Tamat menjalani tempoh pemenjaraan itu, mereka diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pendakwa Cif Insp Lim Swee Beng melakukan pendakwaan terbabit.

  • oleh
  • Advertisement