Anda di sini

KD Kelantan perhebat kawalan keselamatan perairan Sabah

Advertisement
 Kapal Diraja (KD) Kelantan selamat tiba di jeti operasi Markas Pemerintah Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Kota Kinabalu , semalam. — Gambar Bernama
BERPINDAH: Kapal Diraja (KD) Kelantan selamat tiba di jeti operasi Markas Pemerintah Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Kota Kinabalu , semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Ketibaan Kapal Diraja (KD) Kelantan di Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu di Sepanggar semalam akan memperhebatkan kawalan keselamatan perairan Sabah seterusnya memperkukuh pertahanan negara.

Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, kapal peronda generasi baharu (PV) itu memiliki keistimewaan sendiri termasuk berkonsepkan ‘kapal pintar’ yang banyak menggunakan sistem berbanding kapal besar lain.

Katanya aset itu bertolak dari jeti Pangkalan TLDM Lumut di Perak pada 1 Jun lepas, dengan 110 anggota KD Kelantan terlibat dengan perpindahan itu dan 36 keluarga anggota yang berkhidmat dengan kapal berkenaan di Pangkalan TLDM Lumut akan berpindah dan menetap di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, ketibaan aset itu juga telah membolehkan markas pemerintahan armada timur kini memiliki empat kapal PV termasuk KD Perak, KD Kedah dan KD Selangor.

“KD Kelantan ini memang dirancang ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu atau di bawah Markas Pemerintahan Armada Timur sejak tahun lalu dan kini telah tiba di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan perpindahan KD Kelantan, di sini.

Turut hadir Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Zulhelmy Ithnain, Panglima Logistik Timur Laksamana Pertama Ow Kiat Bin, dan Pegawai Pemerintah KD Kelantan, Komander Manimaran Chellaiturai Arjunan.

Syed Zahiruddin berkata, sejak KD Kelantan ditauliahkan pada 6 Mei 2010, ia terlibat dengan pelbagai misi dan operasi khas di Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk operasi mencari MH370 pada 2014.

Beliau berkata, kapal PV itu juga sering terlibat dengan pelbagai eksesais antaranya Angkasa Samudera (ANGSA), Operation Sea Training (OSTEX), Taming Sari, Pangkor War dan eksesais bilateral termasuk Malaysia-Singapura (MALAPURA).

Katanya, KD Kelantan turut dijadikan platform bagi acara rasmi dan lawatan-lawatan daripada delegasi kenamaan Malaysia selain pernah menerima anugerah kepujian Panglima Tentera Laut pada 2012.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Zahiruddin berkata, pihaknya akan menerima dua lagi kapal PV iaitu KD Terengganu dan KD Pahang yang dijangka tiba pada hujung tahun ini atau awal tahun depan. — Bernama

Advertisement