Anda di sini

Bapa dipenjara 27 tahun, 18, sebat

Advertisement

Rogol anak kandung sehingga mengandung
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 27 tahun dan 18 sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan merogol anak kandungnya sehingga mengandung.

Hakim Indra Hj Ayub menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 56 tahun, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang sepuluh sebat dan tidak melebihi 24 sebat.

Tertuduh merogol mangsa yang berusia 18 tahun, sekitar Mei 2017 pada waktu malam, di dalam bilik rumah tidak bernombor, di sebuah kampung, daerah Ranau.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 Ogos tahun lalu, pengadu membuat laporan berkaitan dengan anak buahnya didapati mengandung tiga bulan, disyaki dirogol tertuduh.

 

Setelah tertuduh ditangkap polis, tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu, disamping mangsa menceritakan kejadian berkenaan kepada ibunya dan saudara-mara yang lain.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan kerana sudah lanjut usia.

“Saya sudah tidak mampu bekerja…saya juga memberi makan kepada empat anak,” katanya dan menambah, belum bercerai dengan isterinya.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip meminta hukuman berat dikenakan, kerana kesalahan serius dan kepentingan awam perlu dilindungi.

“Berdasarkan laporan perubatan, mangsa dirogol dua kali, akibat kejadian ini mangsa mengandung tiga bulan.

“Berdasarkan laporan kimia dan DNA, kandungan yang dikandung mangsa adalah anak kandung tertuduh,” katanya.

Tegasnya, sebagai seorang ketua keluarga harus melindungi anak-anaknya dan bukan melakukan jenayah terbabit.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani tempoh pemenjaraan itu bermula dari tarikh tangkap pada 1 Jun.

  • oleh
  • Advertisement