Anda di sini

17 kubur ditimpa pokok tumbang

Advertisement
TERDAPAT dua pokok tumbang di kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Wilis Jalan Utara, Tawau dan menimpa sekurang-kurangnya 17 kubur.
TERDAPAT dua pokok tumbang di kawasan Tanah Perkuburan Orang Islam Wilis Jalan Utara, Tawau dan menimpa sekurang-kurangnya 17 kubur.

TAWAU: Sekurang-kurangnya 17 kubur ditimpa pokok tumbang di Tanah Perkuburan Orang Islam Wilis, Jalan Utara di sini, dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu.

Ia termasuklah pusara mantan Menteri Belia dan Sukan Sabah Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, namun kuburan Allahyarham tidak terjejas akibat insiden itu.

Penggali kubur, Mohammad Hassan, 51, berkata kejadian berkenaan dipercayai berlaku susulan kejadian angin kencang dan hujan lebat pada awal pagi Rabu.

“Terdapat dua pokok yang tumbang di tanah perkuburan ini, iaitu sebatang pokok ara yang terletak di bahagian atas bukit dan menimpa sekurang-kurangnya tujuh kubur.

MOHAMMAD
MOHAMMAD

“Serta sebuah pokok tua yang tumbang di bahagian kaki bukit, yang dikhuatiri menjejaskan tidak kurang dari 10 kubur,” katanya semasa ditemui di lokasi kejadian.

Mohammad yang berpengalaman lebih 40 tahun bekerja sebagai penggali kubur berkata, luas tapak perkuburan itu kira-kira 10 ekar dan mempunyai lebih 2,000 liang lahad.

Beliau yang sudah lima tahun bertugas di tanah perkuburan itu berkata, kejadian itu sudah dijangka selepas mendengar bunyi buah mangga berguguran dekat rumahnya akibat tiupan angin.

“Setakat ini, belum ada tindakan lanjut diambil oleh sebarang pihak, namun saya sedia membantu jika ada keluarga mangsa yang mahu membersihkan kubur terjejas,” katanya.

Mansur Mude, 46, yang sudah lebih 20 tahun bekerja sebagai penggali kubur berkata sudah menjangkakan peristiwa itu akan berlaku semenjak tiga hari sebelum kejadian.

“Saya selalu baring di pondok rehat dekat pokok itu, tetapi semenjak tiga hari lepas saya tidak lagi berbaring di situ kerana bimbang pokok terbabit akan tumbang kerana akarnya berbunyi setiap kali angin bertiup,” katanya.

MANSUR
MANSUR

Beliau berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera mengalihkan pokok tumbang itu, lebih-lebih Hari Raya Aidilfitri kian hampir.

Menurutnya, tanah perkuburan itu yang juga dikenali sebagai Tanah Perkuburan Orang Islam Islamiyah sentiasa menjadi tumpuan ramai setiap kali hari raya tiba.

Samsudin Hasing, 39, yang juga rakan kepada Mohammad Mustaqeem, iaitu anak sulung Allahyarham Tawfiq berkata beliau bergegas ke lokasi itu selepas dihubungi Mustaqeem.

SAMSUDIN
SAMSUDIN

“Beliau meminta saya melihat keadaan kuburan Allahyarham dan setibanya di sini, saya dapati keadaan pusara Allahyarham dalam keadaan baik dan sudah dibersihkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berwajib khususnya wakil rakyat akan mengambil tindakan segera untuk mengalihkan kedua-dua pokok tumbang terbabit.

Beliau khuatir jika tindakan segera tidak diambil, akan mengakibatkan kemusnahan lebih teruk terhadap sturuktur kuburan yang terjejas selepas ditimpa pokok tumbang.

  • oleh
  • Advertisement