Anda di sini

13 anak yatim terima sumbangan pesara guru

Advertisement

LABUAN: Seramai 13 anak yatim di Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru menerima sumbangan wang tunai dan kuih raya daripada Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5-PM), Daerah Cawangan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Pengerusinya Datin Dayang Pungut Abd Jalil, program tahunan yang dinamakan 'Kami Sayang Kamu' itu bertujuan membantu golongan yang memerlukan seperti anak-anak yatim dalam meringankan beban mereka di samping dapat memberi sedikit keceriaan dalam merayakan Aidilfitri yang bakal menjelang.

SALAH seorang anak yatim menerima sumbangan daripada Dayang (kanan) sambil diperhatikan Abdul Rahman dan Murni.
SALAH seorang anak yatim menerima sumbangan daripada Dayang (kanan) sambil diperhatikan Abdul Rahman dan Murni.

"Segala sumbangan ini adalah hasil derma semua ahli persatuan sebagai amal jariah serta peranan kami sebagai pesara guru dalam membantu masyarakat.

"Program ini dikendalikan oleh Biro Agama persatuan kami dan diharap ia dapat memberikan sedikit kegembiraan buat semua penerima untuk merayakan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

"Saya juga bagi pihak persatuan merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak SK Tanjung Aru atas kerjasama menjayakan program ini dan kami akan terus memainkan peranan untuk menyumbang kepada masyarakat dengan apa jua pendekatan yang dirasakan bersesuaian," katanya ketika ditemui di program itu pada Isnin.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Tanjung Aru Murni Jaafar, Naib Pengerusi 1 (5-PM) Daerah Cawangan WP Labuan Datuk Abdul Rahman Lamudin, Naib Pengerusi 2 (5-PM) Daerah Cawangan WP Labuan Jamilah Ohang serta 12 ahli 5-PM yang lain.

Advertisement