Anda di sini

PIUMS jadi pusat rujukan

Advertisement

Selain sebagai platform dakwah islamiah komuniti

KOTA KINABALU: Pembinaan bangunan Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) mampu memberi kemudahan rujukan ilmiah serta pusat kegiatan dakwah kepada para pelajar, kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan masyarakat sekitar.

Pengarah PIUMS Dr Muhamad Suhaimi Taat berkata, bangunan baharu yang siap pada Mei itu mula dibina pada 24 Oktober 2016 melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta melalui peruntukan persekutuan yang disalurkan melalui Kementerian Pengajian Tinggi.

JUHAR diiringi Muhamad (empat kanan) bersalaman dengan hadirin sejurus tiba di perkarangan PIUMS.
JUHAR diiringi Muhamad (empat kanan) bersalaman dengan hadirin sejurus tiba di perkarangan PIUMS.

Katanya, bangunan dua tingkat berkeluasan 6,280 meter persegi berkenaan menempatkan Pejabat Pentadbitan PIUMS di tingkat satu manakala bahagian bawah menempatkan dua bilik seminar yang boleh menempatkan 300 orang pada satu-satu masa, dua bilik kuliah, satu perpustakaan mini, satu kedai mini, satu bilik galeri dan satu bilik mesyuarat eksekutif selain kemudahan pantri dan tandas awam.

"Bangunan baharu ini mampu menjadi pusat rujukan akademik selain menjadi penggerak kepada penganjuran aktiviti keagamaan dengan lebih kondusif dan berskala besar," jelas beliau ketika menyampaikan taklimat kepada Yang Dipertua Negeri Tun Dr Juhar Mahiruddin dan Toh Puan Norlidah RM Jasni, di sini pada Isnin.

Juhar yang merasmikan bangunan itu diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih di Masjid UMS.

KAMARUDIN (dua kiri) menerima sumbangan zakat bagi pihak UMS daripada wakil Pusat Zakat Sabah sambil diperhatikan Juhar (tengah), Shafie (tiga kiri), Muhamad (kiri) dan Yusof (dua kanan).
KAMARUDIN (dua kiri) menerima sumbangan zakat bagi pihak UMS daripada wakil Pusat Zakat Sabah sambil diperhatikan Juhar (tengah), Shafie (tiga kiri), Muhamad (kiri) dan Yusof (dua kanan).

Pada majlis itu, Juhar juga menyaksikan penyerahan sumbangan zakat berjumlah RM16 ribu daripada Pusat Zakat Sabah kepada pelajar dan kakitangan UMS yang layak.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri Datin Shuryani Shuaib, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Nor Rizan Mohd Thani, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai dan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman.

Advertisement