Anda di sini

Pengeluaran Kad Sabah sebahagian agenda utama Warisan

Advertisement
Terence Siambun
 

KOTA KINABALU: Bendahari Agung Parti Warisan Sabah Terence Siambun (gambar) menyangkal persoalan yang dibuat oleh Jannie Lasimbang daripada DAP bahawa Kerajaan Negeri tidak akan melaksanakan pengeluaran Kad Sabah kepada 'rakyat Sabah tulen'.

Menurut beliau, pengeluaran Kad Sabah adalah sebahagian daripada agenda utama parti dan tidak ada keputusan untuk membatalkan cadangan itu sehingga kini.

"Sama ada presiden atau timbalan presiden parti, atau mana-mana Ahli Majlis Tertinggi, telah mencadangkan untuk membatalkan cadangan itu.

"Kabinet Negeri belum membincangkan isu itu, justeru kenyataan Jannie kemungkinan besar pendapat peribadinya kerana Kerajaan Negeri yang baharu komited sepenuhnya untuk menyelesaikan masalah berkaitan dengan pendatang tanpa izin dan kewarganegaraan yang meragukan," katanya.

Seperti yang dimakluminya, Terence berkata Kad Sabah yang dicadangkan tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Harapan tetapi itu tidak bermakna ia perlu dibatalkan bersama.

Jelasnya rakyat Sabah mahu penyelesaian yang diberikan oleh rakyat Sabah sendiri dan bukannya yang ditentukan dari luar Sabah.

"Ya, ia tidak termasuk (dalam manifesto mereka) tetapi saya percaya ini bukanlah satu-satunya sebab mengapa ia tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri pada dasarnya adalah sebuah kerajaan yang dipimpin oleh Warisan dengan rakan-rakan dari Pakatan Harapan dan Upko.

"Justeru, saya rasa masih ada masa untuk meyakinkan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan khususnya DAP mengenai keperluan untuk mengeluarkannya sebagai salah satu daripada beberapa penyelesaian jangka panjang untuk masalah di Sabah.

"Ia memandangkan Warisan dan Upko berkongsi pendirian yang sama mengenai perkara ini dan saya percaya PKR juga akan bersetuju," katanya.

Terence berkata, terdapat banyak hujah yang dikemukakan oleh banyak pihak mengenai keperluan agar Kad Sabah dikeluarkan tetapi pada dasarnya ia berkaitan keselamatan negeri.

"Dengan mengeluarkan Kad Sabah, kita sekurang-kurangnya boleh mengurangkan ancaman militan atau pelampau yang menggunakan Sabah sebagai titik transit untuk perjalanan ke Semenanjung.

"Ia juga akan membantu meneliti pemegang Projek IC di negeri ini, masalah yang masih belum dapat diselesaikan walaupun Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selesai pada tahun 2014.

"Sekiranya kita lupa, ada laporan militan IS yang cuba melakukan tindakan keganasan semasa Sukan SEA tahun lepas di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya pengeluaran Kad Sabah dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri yang akan datang untuk membenarkan wakil rakyat membincangkannya.

"Mungkin ia jua baik jika wakil rakyat kita mengambil bahagian dalam perbincangan dan mengundi sama ada bersetuju dengan cadangan untuk mengeluarkan Kad Sabah.

"Secara peribadi, saya fikir tidak ada masalah sama sekali bagi Warisan untuk meneruskan pengeluaran Kad Sabah yang dicadangkan.

"Bagaimanapun, oleh kerana isu ini telah menarik perhatian parti politik lain dan menjadi topik hangat dalam media sosial akibat kenyataan Jannie, justeru mungkin adalah menjadi lebih baik jika kita membenarkan semua orang untuk menyuarakan pendapat mereka secara telus dan Dewan Undangan Negeri akan menjadi forum terbaik hari ini," katanya.

Advertisement