Anda di sini

KD Kelantan perkukuh pertahanan negara

Advertisement

KOTA KINABALU: Demi tanggungjawab menjaga keselamatan negara, 110 anggota Kapal Diraja (KD) Kelantan menunaikan tanggungjawab berpindah ke Sabah untuk bertugas di perantauan dan tidak sempat bersama keluarga meraikan Aidilfitri tahun ini.

Bersesuaian perancangan penubuhan Markas Pemerintahan Armada Timur, KD Kelantan adalah kapal keempat yang dipindahkan ke Armada Timur dalam usaha meningkatkan pertahanan di perairan di Sabah dan Sarawak.

ZAHIRUDDIN merakamkan gambar kenangan bersama anggota KD Kelantan.
ZAHIRUDDIN merakamkan gambar kenangan bersama anggota KD Kelantan.

Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata perpindahan KD Kelantan di sini juga bagi memperkukuh kewujudan pemerintahan dua wilayah antara Armada Barat dan Armada Timur.

"Penyerahan KD Kelantan ke Armada Timur dijangka dapat meningkatkan tahap keselamatan di sini kelak selain memberi nafas baharu kepada Armada Timur serta TLDM khasnya dalam misi memperkukuhkan pertahanan perairan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Perpindahan KD Kelantan ke Markas Pemerintahan Armada Timur di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Turut hadir, Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Zulhelmy Ithnain, Panglima Logistik Timur Laksamana Pertama Ir Ow Kiat dan Pegawai Memerintah KD Selangor Komander Manimaran TLDM.

Zahiruddin berkata sejak kapal peronda generasi baharu (PV) ditauliahkan pada 6 Mei 2010, KD Kelantan terlibat pelbagai misi dan operasi khas di Semenanjung serta Sabah Sarawak termasuk operasi mencari MH370 pada 2014.

"KD Kelantan juga sering terlibat dengan pelbagai eksesais antaranya Angkasa Samudera (ANGSA), Operation Sea Training (OSTEX), Taming Sari, Pangkor War dan eksesais bilateral termasuk Malaysia-Singapura (MALAPURA).

"Kapal ini juga dijadikan platform acara rasmi VVIP dan sering menerima lawatan daripada delegasi kenamaan Malaysia selain pernah menerima anugerah kepujian Panglima Tentera Laut pada 2012," katanya.

Tambahnya, KD Kelantan turut menggunakan sistem istimewa ‘Smart Ship’ dengan pengendalian kapal menggunakan kru dalam jumlah minimum berbanding kapal lain.

Beliau berkata dengan adanya keupayaan tinggi yang dimiliki KD Kelantan itu akan membantu memperkasakan lagi rondaan lebih kerap dan lama di perairan.

KD Kelantan semasa merapat di Jeti PTKK kira-kira jam 9 pagi Selasa.
KD Kelantan semasa merapat di Jeti PTKK kira-kira jam 9 pagi Selasa.

Pada masa sama katanya, Armada Timur juga akan mengutamakan aspek logistik dan kepakaran di Pelabuhan TLDM Kota Kinabalu (PTKK) bagi memudahkan penyelenggaraan kapal dalam satu lokasi yang ditempatkan di sini seterusnya meningkatkan lagi kesiagaan Armada Timur.

Sementara itu, Zahiruddin berkata 36 keluarga anggota yang berkhidmat dengan kapal itu di Pangkalan TLDM Lumut akan berpindah dan menetap di Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

Dua lagi kapal peronda jenis sama masing-masing KD Terengganu dan KD Pahang dijangka akan dipindahkan di Armada Timur hujung tahun ini dan awal tahun depan manakala KD Selangor sudah ditempatkan di sini Januari lalu.

  • oleh
  • Advertisement