Anda di sini

Belum ada makluman mengenai pembentukan Daerah Kalabakan

Advertisement

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) belum menerima sebarang makluman rasmi berhubung rancangan mewujudkan daerah kecil atau penuh bagi Parlimen Kalabakan, dekat sini.

Presiden MPT, Alijus Sipil berkata makluman rasmi mengenai perkara itu perlu dikeluarkan oleh  kerajaan negeri atau Jabatan Ketua Menteri.

“Menjadikan Kalabakan sebagai daerah kecil itu saya hanya dengar daripada media massa atau laman sosial seperti Facebook,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi MPTPay dan MobilityPay di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas berkaitan keinginan pemimpin kerajaan baharu mahu mewujudkan sebuah daerah kecil di Kalabakan.

Dalam pada itu, Alijus berkata MPT ada menerima kunjungan kehormat daripada pemimpin kerajaan baharu di Tawau termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Tawau, Christina Liew dan Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman.

“Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Merotai, Sarifuddin Hata juga ada melakukan kunjungan hormat dan antara lain pertemuan bersama kesemua pemimpin tu membincangkan  masalah rakyat.

Sementara itu, Alijus berkata, untuk mewujudkan pusat penempatan baharu di Kalabakan perlu memiliki elemen antaranya kemudahan seperti bangunan komersial perniagaan dan pusat jabatan kerajaan  seperti bomba, pejabat pos serta pusat kesihatan.

“Adanya elemen pembangunan itu barulah difikirkan untuk mewujudkan pusat pentadbiran di Kalabakan,” katannya lagi.

Jika diteliti bagi  peringkat awal pewujudan daerah di Parlimen Kalabakan itu, Alijus berkata pekan Merotai merupakan lokasi pentadbiran sesuai tetapi masih perlu dikembangkan.

“Jika kerajaan berhasrat untuk mewujudkan daerah kecil atau pusat pentabiran kecil untuk Kalabakan, sama ada pusat ini masih berada dibawah MPT atau berasingan saya ingat pekan Merotai kerana sudah ada bangunan  kedai, pondok polis dan pusat kesihatan,” katanya.

Menurut Alijus, MPT bersedia memberi kerjasama ke arah  parlimen Kalabakan mencapai status daerah kecil atau penuh.

“Satu syor, jika ke arah itu, mesti ada pembentukan jawatankuasa yang mungkin jika buka diterajui MPT tetapi boleh diterajui kerajaan negeri dan jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah menjanjikan untuk menjadikan Kalabakan sebagai sebuah daerah kecil jika Parti Warisan Sabah menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14. — Bernama

Advertisement