Anda di sini

29 peniaga diberi amaran

Advertisement

 Hasil pemeriksaan ke atas 13,752 jenis barangan di Sabah

 


KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sehingga malam Isnin lalu mengeluarkan amaran kepada 29 peniaga di negeri ini agar menambah baik penandaan serta menurunkan harga barangan.

Timbalan Pengarah (Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri) KPDNKK Ravichandran A/L Vadivellu berkata, amaran yang dikeluarkan itu berikutan pemeriksaan ke atas 13,752 jenis barangan yang melibatkan premis perniagaan.

"Dalam masa yang sama, kita juga meminta peniaga membuat notis di rak barangan dan kaunter pembayaran mengatakan harga jualan adalah tidak termasuk kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 6 peratus atau barangan yang ditawarkan termasuk kadar GST 0 peratus.

RAVICHANDRAN (kanan) ketika sidang media.
RAVICHANDRAN (kanan) ketika sidang media.

"Selain itu, kita juga menerima 33 aduan serta 34 pertanyaan berhubung perubahan cukai, harga barangan dan perkara berkaitan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Beliau berkata, notis pemberitahuan itu penting agar pembeli tahu bahawa barangan telah mengalami pengurangan harga ketika pembayaran dilakukan.

Katanya, perlu juga memberi notis di peringkat kedai yang memberitahu harga akan berubah, pembayaran akan berkurangan sekiranya tanda harga masih belum diubah.

"Ini adalah antara langkah awal kita membenarkan peniaga membuat penyesuaian tentang perubahan kadar cukai... mereka diberikan tempoh selama tiga hari sahaja untuk membuat perubahan itu sebelum pegawai kita kembali untuk membuat pemeriksaan.

"Sekiranya didapati gagal berbuat demikian, satu notis akan dikeluarkan selepas amaran diberikan bagi mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Selain kesalahan mengambil elemen cukai sebagai keuntungan, peniagaan juga menyalahi Akta GST 2014 kerana terus mengutip 6 peratus cukai walaupun undang-undang baharu mengatakan kadar cukai adalah 0 peratus," katanya.

Menurutnya, KPDNKK akan bekerjasama erat dengan pihak Kastam dari segi penguatkuasaan, pemeriksaan dan tindakan undang-undang ke atas peniaga yang gagal mematuhi undang-undang.

Ravichandran berkata, dua notis dikeluarkan kepada dua pengusaha parkir di sekitar bandaraya ini yang menaikkan harga secara mendadak dan mengelirukan.

"Dahulu harga bayaran adalah RM100 termasuk GST, tetapi sehingga kini tidak menolak 6 peratus itu dan kekalkan harga RM100.

"Satu lagi pengusaha mengenakan bayaran RM80 sebelum 1 Jun, tetapi kini tiba-tiba mengenakan RM150. Ini kita sedang siasat kerana mempunyai elemen mencatut," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada peniaga runcit yang mematuhi undang-undang dan mengambil usaha mengubah tanda harga barangan dalam premis mereka.

  • oleh
  • Advertisement