Anda di sini

Selesaikan masalah penghawa dingin rosak

Advertisement
STEPHEN (kiri) ketika melakukan lawatan ke Perpustakaan Wilayah Sandakan pada Isnin.
STEPHEN (kiri) ketika melakukan lawatan ke Perpustakaan Wilayah Sandakan pada Isnin.

SANDAKAN: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Stephen Wong Tien Fatt mahu masalah penghawa dingin rosak yang berpanjangan di Perpustakaan Wilayah Sandakan (PWS) diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Beliau berkata, masalah itu telah berlanjutan lebih setahun dan sehingga kini masih belum dibaikpulih. 
 
Selain itu katanya, beberapa batang lampu yang tidak berfungsi juga akan diberi perhatian dalam usaha menambahbaik kemudahan di perpustakaan itu, sekaligus memberi keselesaan kepada kakitangan dan pengunjung. 
 
"Berdasarkan statistik daripada pihak PWS, kehadiran pembaca menurun. Kita mesti mahu kaji kenapa situasi ini berlaku. Kita berharap akan ada promosi program untuk memastikan budaya membaca kembali rancak semula terutama dalam kalangan orang muda.
 
"Bagi masalah penghawa dingin yang rosak, saya sudah kemukakan perkara ini ke mesyuarat Kabinet dan memohon peruntukan untuk menanganinya," katanya kepada media selepas sesi taklimat dalam lawatan ke Perpustakaan Wilayah Sandakan, di sini pada Isnin.
 
Stephen yang merupakan Ahli Parlimen Sandakan juga mahu perkhidmatan Perpustakaan Bergerak diteruskan untuk memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar dalam mendapatkan bahan bacaan.
 
Katanya, beliau akan memberi tumpuan kepada masalah ketiadaan pemandu akibat sudah berpencen atau uzur, yang dilihat antara penyebab operasi Perpustakaan Bergerak telah dihentikan.
 
Hadir sama di taklimat itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Janet Chee dan Ketua Perpustakaan Wilayah Sandakan Cecilia Chai Yee Jet.
 
Untuk rekod, PWS telah ditubuhkan pada tahun 1954 di mana ketika itu ia hanya dibuka tiga kali seminggu.
 
Ia kemudian dibuka sepenuh masa pada tahun 1960 dan dipindahkan ke bangunan sekarang di Jalan Leila pada 26 April 1993.
 
Antara kemudahan yang ada termasuk dewan serbaguna, kantin, ruang perkhidmatan pembaca dan pinjaman bagi dewasa, remaja dan kanak-kanak selain ruang perkhidmatan rujukan serta ruang perkhidmatan hipermedia serta surau.
  • oleh
  • Advertisement