Anda di sini

Reka bentuk baharu pembinaan dua jejambat pusingan U di Lintas

Advertisement
PHOONG menunjuk ke arah dua jejambat pusingan U yang bakal dibina.
PHOONG menunjuk ke arah dua jejambat pusingan U yang bakal dibina.

KOTA KINABALU: Selepas menerima aduan daripada penduduk setempat mengenai pembinaan dua jejambat pusingan U, pihak pemaju kini telah mengeluarkan satu reka bentuk baharu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Phoong Jin Zhe berkata, isu itu telah diutarakan sejak tahun lalu dan kini pemaju memutuskan untuk mendengar aduan penduduk setempat khususnya di kawasan Taman Milek, Lintas di sini.

"Penduduk taman di fasa pertama sebelum ini tidak puas hati dengan pembinaan jejambat pusingan U berkenaan disebabkan faktor-faktor keselamatan kerana laluan itu sangat berdekatan dengan rumah mereka.

"Dengan jarak yang kurang daripada satu meter (tidak termasuk jarak sistem perparitan tiga meter), penduduk bimbang sekiranya wujudnya kemalangan sehingga mendatangkan bahaya kepada mereka.

"Namun kini, pihak pemaju telah membuat rekaan baharu iaitu sejauh enam meter (termasuk jarak sistem perparitan) daripada rumah penduduk.

"Bagaimanapun, saya belum mengambil maklum balas daripada penduduk yang terjejas mengenai rekaan baharu ini.

"Dalam masa terdekat saya akan mengadakan sesi dialog bersama mereka (penduduk)," katanya dalam sidang media di sini pada hari ini (Isnin).

Beliau berkata, terdapat tiga projek yang dibangunkan di sepanjang Jalan Lintas iaitu jejambat di simpang Lido dan jejambat di Jalan Pintas Penampang serta dua Jejambat Pusingan U yang bakal dibina.

Katanya, dua jejambat yang kini dalam pembinaan dijangka akan siap pada penghujung tahun 2019 dengan keseluruhan kos bagi ketiga-tiga projek itu berjumlah RM310 juta.

"Saya berharap pihak penduduk di Taman Milek Fasa pertama akan berpuas hati dengan rekaan baharu itu.

"Sekiranya terdapat lagi bantahan, saya akan berbincang sekali lagi dengan pemaju terbabit," katanya.

Menurutnya, pihak pemaju menjelaskan pembinaan dua jejambat pusingan U itu sangat diperlukan memandangkan dua pusingan U yang sedia ada tidak mampu menampung suasana keadaan lalu lintas.

  • oleh
  • Advertisement