Anda di sini

BTS cipta sejarah K-Pop dengan mengungguli carta album AS

Advertisement
 BTS semasa menerima anugerah Top Social Artist di Anugerah Muzik Billboard 2018 di Las Vegas, Nevada pada 20 Mei yang lepas. — Gambar Reuters
UNGGUL DI CARTA AS: BTS semasa menerima anugerah Top Social Artist di Anugerah Muzik Billboard 2018 di Las Vegas, Nevada pada 20 Mei yang lepas. — Gambar Reuters

KUMPULAN fenomena remaja lelaki dari Korea Selatan BTS telah menjadi kumpulan K-Pop pertama untuk menduduki tempat teratas carta album di Amerika Syarikat (AS), satu ilustrasi jelas bagi tarikan global genre itu yang semakin meningkat.

Terkenal kerana rupa mereka yang tampan dan remaja, potong rambut yang terkelepai dan tarian yang direka dengan teliti, kumpulan septet itu telah menjadi salah satu eksport muzikal yang paling terkenal dan paling lumayan dari Korea Selatan.

Pada minggu lepas mereka mencapai satu lagi kejayaan baharu – menjadi kumpulan K-Pop pertama untuk menduduki carta muzik Billboard 200 yang menaraf album menerusi jualan, muat turun dan strim.

“Ia merupakan tempat No. 1 pertama bagi kumpulan tujuh anggota itu, dan album K-Pop pertama untuk mendahului carta,” tulis Billboard dalam laporan dalam taliannya yang memperincikan penarafan carta terbaharu.

Sementara ramai pendengar muzik yang lebih tua di dunia Barat mungkin akan bertanya “siapa?”, ia adalah sukar untuk memandang rendah populariti BTS dan tujuh bintang mereka, Suga, J-Hope, Rap Monster, Jimin, V, Jungkook dan Jin.

Menurut satu analisis data, mereka merupakan fenomena yang paling kerap disebut-sebut dalam Twitter pada 2017, dengan hampir dua kali ganda jumlah sebutan gabungan bagi Presiden AS Donald Trump dan Justin Bieber.

Ditambah dengan tarikan mereka yang tidak kurang besar di seluruh dunia – mereka mempunyai ramai sekali pengikut dalam media sosial di Jepun, China, Asia Tenggara dan beberapa bahagian di Amerika Latin – dan kita mempunyai sebuah kumpulan besar yang benar-benar global.

Album baharu mereka ‘Love Yourself: Tear’ menggulingkan ‘Beerpong and Bentleys’ daripada bintang hip-hop yang sedang meningkat naik, Post Malone, dengan tatu pada wajahnya yang sangat bercanggah sekali dengan imej BTS yang menyegarkan dan dirapi dengan teliti.

Walaupun BTS bernyanyi dalam bahasa Korea, gaya mereka berjaya mengadunkan irama K-Pop yang rancak dengan hip-hop dan rhythm and blues.

Pada tahun lepas, album mereka sebelum ini ‘Love Yourself: Her’ menjadi album K-Pop pertama yang menduduki tempat dalam carta 10 album terbaik di AS, apabila ia naik ke tempat nombor tujuh. Ia menduduki tempat pertama dalam iTunes di lebih 70 buah negara.

- ASAL USUL

AMERIKA -

Hip-hop tidak baharu dalam K-Pop, yang dapat mengesan asal usulnya pada awal tahun 1990an dengan Seo Taiji and Boys.

Kumpulan trio itu merintis penggunaan rap dalam pop Korea yang mengubah industri itu dan diterima generasi yang semakin matang di Korea Selatan yang baharu mewah dan baharu demokratik.

Pasaran berbilion dolar dan amat kompetitif muncul dengan bintang dan kumpulan yang dilatih dalam keadaan yang hampir ala kem latihan tentera, imej mereka dikawal ketat oleh pengurusan.

Sifat taksub peminat K-Pop menjadi legenda, terutamanya peminat yang dipanggil ‘sasaeng’ atau ‘penghendap’ – kebanyakannya gadis remaja yang sanggup memecah masuk ke dalam rumah idola mereka.

Kira-kira sedekad lalu K-Pop telah mendapat semakin ramai peminat yang tidak bertutur dalam bahasa Korea.

BTS agak luar biasa dalam perkara itu kerana walaupun mempunyai tarikan global, ia bukan salah satu kumpulan terkemuka di Korea Selatan sekarang.

Ia diurus oleh sebuah syarikat rekod yang agak kecil, Big Hit Entertainment, syarikat kerdil jika dibandingkan dengan label-label mega yang jauh lebih terkenal seperti SM Entertainment.

Peminat dalam portal internet Korea Selatan gembira melihat eksport muzikal Korea menduduki tempat teratas dalam carta album dalam pasaran muzik terbesar di dunia.

“Semua agensi K-Pop yang berpengaruh ini cuba menembusi pasaran Amerika dengan membuat kumpulannya yang popular bernyanyi dalam bahasa Inggeris, namun ia adalah Bangtan (BTS) dari sebuah agensi kecil yang akhirnya berjaya memasuki pasaran global dengan lagu-lagunya dalam bahasa Korea,” tulis seorang peminat yang enggan dikenali.

“Tahniah dan terima kasih banyak-banyak kerana mewakili Korea dalam carta muzik berprestij ini!” tulis seorang lagi. — AFP

Advertisement