Anda di sini

Program jerayawara MCC tingkatkan kesedaran enam nilai bersama PANS

Advertisement
 Awang Putra (duduk tengah) merakamkan gambar bersama peserta Program Jerayawara MCC Siri Kedua 2018 di Pejabat Daerah Lundu, baru-baru ini.
TINGKATKAN KESEDARAN: Awang Putra (duduk tengah) merakamkan gambar bersama peserta Program Jerayawara MCC Siri Kedua 2018 di Pejabat Daerah Lundu, baru-baru ini.

KERAJAAN Negeri menerusi Unit Sumber Manusia Negeri telah menganjurkan Program Jerayawara Mengurus Perubahan Budaya (MCC) bagi siri kedua tahun ini di Pejabat Daerah Lundu, baru-baru ini.

Program setengah hari tersebut melibatkan 38 peserta terdiri daripada kalangan penjawat awam dari Pejabat Daerah Lundu, Pejabat Daerah Bau, Jabatan Kerja Raya (JKR) Lundu dan Bau, Jabatan Pertanian Lundu dan Bau, Majlis Daerah Lundu dan Bau serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Program Jerayawara MCC ini dianjurkan buat julung kalinya tahun ini dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman penjawat awam berkenaan enam nilai bersama dalam kalangan penjawat awam negeri Sarawak (PANS).

Dalam ucapan penutupannya, Pegawai Daerah Lundu Awang Putra Yusri Awang Ridzuan menyeru peserta kursus agar mempraktikkan enam nilai bersama yang perlu ada dalam diri penjawat awam.

Enam nilai bersama ini merujuk kepada integriti, baik hati dan prihatin, profesionalisme, sikap bersegera dan semangat kepunyaan bersama, semangat berpasukan serta  berorientasikan hasil.

“Kita berharap peserta kursus akan memahami enam nilai bersama PANS ini dengan lebih jelas dan terperinci dan menjadikan sebagai budaya kerja dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Bercakap lebih lanjut mengenai program bersifat turun padang ini, ia antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman PANS tentang nilai bersama secara lebih efektif dan efisien.

Program ini akan diadakan di 13 lokasi bermula di Pejabat Residen Kuching pada 22 Mei lepas diikuti dengan Pejabat Daerah Lundu, 24 Mei.

Selepas Lundu, program ini akan diteruskan di Bahagian Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Selain meningkatkan kesedaran mengenai enam nilai bersama dalam kalangan PANS, program ini juga merupakan platform untuk memperkenalkan kepada seluruh PANS mengenai kesedaran keberadaan khidmat sokongan pekerja (KSP) sebagai rakan pembimbing penjawat awam di setiap agensi.

KSP ini merupakan ejen perubahan budaya yang akan membantu dalam penyebaran nilai-nilai bersama agar proses membudayakan budaya kerja yang cemerlang dapat dilaksanakan dengan konsisten dan efektif.

Advertisement