Anda di sini

Najwa Latif bersyukur single terbaru ‘Jauh’ semakin diminati ramai

NAJWA LATIF
NAJWA LATIF

PENYANYI Najwa Latif bersyukur lagu barunya ‘Jauh’ kini mendapat lebih 240,000 tonton setelah dimuat naik di laman YouTube pada 22 Mac.

Beliau yang sibuk menjalani kehidupan sebagai pensyarah Bahasa Inggeris di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), amat berterima kasih kepada peminatnya yang sentiasa menyokong usaha beliau dalam bidang nyayian.

“Mesej yang cuba kami sampaikan dalam lagu ini adalah setiap daripada pemergian dan kedatangan seseorang itu, kita sentiasa mendoakan yang terbaik,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Nine11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-23 pada 23 Mei lalu berkata lagu berkenaan dicipta sejak tahun lalu sebelum menjalankan rakaman pada tahun ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata lagu berkenaan turut mendapat sentuhan daripada kakaknya Iqhwatul Syafika atau Ika.

Anak kelahiran Batu Pahat itu, yang mahir bermain gitar sejak berusia 14 tahun baru sahaja menamatkan pengajiannya di UNITAR dalam pengajian Bahasa Inggeris pada tahun lalu.

Najwa yang bernaung di bawah syarikat rakaman NAR telah banyak menghasilkan single sejak 2011, dan sebuah album pada tahun yang sama bertajuk ‘Najwa Latif’.

Antara lagunya yang diminati ramai adalah ‘Cinta Muka Buku’ pada 2011 yang mencecah 9,000 tontonan hanya dalam tempoh tiga hari sejak dimuat naik dalam YouTube.

Pemenang Anugerah Planet Muzik melalui lagu ‘Sahabat’ dengan kolaborasi bersama Sleeq dan Syamkamarul serta lagu paling popular Singapura pada 2013 melalui lagu ‘Untuk Dia’, berkata beliau akan mengeluarkan album baharu hujung tahun ini yang akan memuatkan lagu lamanya ‘Only Yours’ yang dihasilkannya pada tahun 2013. — Bernama

Advertisement