Anda di sini

Shahrulnizam, usahawan kecantikan dan fesyen bersemangat kental

Advertisement
 Tenunan tangan bagi kain sampin eksklusif yang begitu kemas dan cantik hasil kerjanya.
CANTIK: Tenunan tangan bagi kain sampin eksklusif yang begitu kemas dan cantik hasil kerjanya.
SHAHRULNIZAM
SHAHRULNIZAM

ANAK kelahiran Kampung Sorak Melayu di Serian, Shahrulnizam Samawi, 29 tahun mula berkecimpung sebagai seorang usahawan kecantikan dan fesyen pada 2016 selepas mengikuti Program LPU anjuran MARA.

Bermula hanya dengan menjual lebih 2,000 rangkaian pelbagai produk buatan China secara atas talian beliau kini mempunyai 45 ejen.

“Pada masa sama, saya membuka sebuah butik produk di Arked MARA Serian, seterusnya mendapat geran berjumlah RM15,000 daripada pihak SME Corp dan mulai membuka sebuah kedai di salah sebuah pusat beli-belah di sini (Kuching),” katanya memulakan perbualan.

Shahrulnizam yang merupakan anak kelima daripada enam adik-beradik tidak pernah berputus asa malah menceburi pelbagai jenis perniagaan daripada rangkaian produk kecantikan sehingga kepada fesyen.

Antara produk keluaran syarikat DCM miliknya ialah DCM Whitening Scrub, DCM Whitening Serum, Majum Candy, Sambal Orang Ulu, DCM Cookies dan terbaharu sampin #bartekbydcm, tambahnya.

Beliau kini memfokuskan kepada pengeluaran barangan di bawah syarikatnya dan cara mempakej serta mempromosikan barangan dipelajari sewaktu masih berada di bawah Program LPU anjuran MARA.

Walaupun tidak mewarisi mana-mana bakat berniaga daripada ahli keluarganya dan berkelayakan Sarjana Muda Psikologi dari sebuah insitusi pengajian tinggi swasta di ibu kota, namun jiwa anak muda ini kental dan berjaya membuktikan kepada dunia bahawa beliau mampu berniaga dan menjadi seorang usahawan gah suatu hari nanti.

“Saya menyimpan hasrat untuk membuka empayar atas nama DCM kerana sebelum ini orang memandang rendah keupayaan saya hanya kerana saya mempunyai sarjana muda dalam bidang psikologi,” katanya.

Nasihat beliau kepada golongan muda yang mahu meniru jejak langkah ialah jangan takut meneroka peluang perniagaan kerana peluang itu wujud di mana-mana tetapi mereka mestilah cepat sebelum peluang dan tindakan itu dilakukan orang lain pula.

Bersempena dengan Hari Lebaran ini, Shahrulnizam mengeluarkan kain sampin eksklusif buatan tangan dan kain sampin yang berpatutan untuk dimiliki setiap lapisan masyarakat.

Sampin eksklusifnya menggunakan pilihan kain kapas, sutera, benang emas, benang perak dan benang tembaga manakala sampin biasa menggunakan kain kapas Swiss yang lembut dan tidak panas.

Untuk mengikuti kisah kejayaan beliau, sila layari akaun Instagram dan Facebooknya di BartekbyDCM.

Anak muda ini turut disenaraikan pihak SMECorp dalam ‘Hall of Fame SME Corp 2017’.

  • oleh
  • Advertisement