Anda di sini

Kesibukan menjelang Gawai di Terminal Bot Ekspres Sibu

Advertisement
 Penumpang berbaris untuk memasuki bot ekspres.
BALIK KAMPUNG: Penumpang berbaris untuk memasuki bot ekspres.
 Suasana di sekitar Terminal Bot Ekspres Sibu.
SESAK: Suasana di sekitar Terminal Bot Ekspres Sibu.

ESOK masyarakat Dayak di negeri ini akan meraikan Hari Gawai dan tinjauan Utusan Borneo di Terminal Bot Ekspres Sibu mendapati kemeriahan suasana balik kampung semakin dirasai.

Kelihatan orang ramai masih berpusu-pusu membeli tiket bot ekspres dan ada yang telah mendapatkan tiket lebih awal sebelum tiba waktu puncak kerana mengetahui peritnya beratur panjang.

Namun tidak semua insan dapat merasai kemeriahan ini kerana amanah dan tugas yang dipikul, di mana suasana kegembiraan menyambut Hari Gawai di kampung halaman terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), mata Janika Bangat, 36, meliar memerhati segenap sudut terminal bagi memastikan keselamatan orang awam.

Menurut ibu lima anak ini, kemeriahan Hari Gawai terpaksa dilupakan seketika kerana harus memenuhi tuntutan tugasan di terminal berkenaan.

Katanya, beliau akan mula bercuti selepas Hari Gawai kedua kerana mahu mencari pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anaknya selepas cuti sekolah kelak.

“Tanggungjawab yang terpaksa dipikul harus saya laksanakan dengan hati terbuka dan semua perasaan hiba dan sedih ini harus saya ketepikan dahulu.

“Dalam masa yang sama, saya perlu mencari duit lebih untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak saya,” katanya yang sudah dua tahun tidak pulang Gawai.

Janika yang berasal dari Rumah Engkamat, Nanga Tada, Kanowit dan kini menyewa di Jalan Jerewit memberitahu, beliau tidak keseorangan kerana suaminya yang juga anggota RELA turut bertugas sehingga hari kedua Gawai.

Beliau juga berkata, anak-anaknya memahami tugas beliau dan suaminya serta keadaan mereka yang kurang berkemampuan.

Selain menjadi anggota RELA, Janika juga mengambil upah sebagai buruh binaan, manakala suaminya sebagai pegawai keselamatan (jaga) di salah sebuah hotel terkemuka di Sibu.

Utusan Borneo sempat bertanya mengenai persiapan Hari Gawai Janika.

“Tidak ada yang istimewa sebab kami bukan orang senang, jadi saya hanya akan masak mi goreng dan membuat roti untuk anak-anak dan suami, tapi anak-anak tetap memahami keadaan kami,” jawabnya.

Bagi Nora Stephen Jana, 40, yang bertugas sebagai anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM), tahun ini bukanlah kali pertama dia tidak dapat pulang Hari Gawai, malah telah dilalui sejak tiga tahun lalu.

Beliau yang berasal Kapit, kadang-kadang menitis air mata dan berasa sedih apabila melihat keghairahan orang ramai di Terminal Bot Ekspres Sibu yang pulang menyambut Hari Gawai di kampung.

“Sudah lama tidak balik kampung, kerana banyak tugasan di sini, jadi kadang-kadang perasaan sedih itu semakin terasa,” katanya sambil memberitahu bahawa pernah beberapa kali menyambut malam Hari Gawai di pejabat sahaja bersama rakan-rakan yang lain.

Menurut Nora, beliau mula bercuti pada 31 Mei ini, bagaimanapun pada tahun ini masih belum bekesempatan untuk pulang ke kampung dan akan menyambut Hari Gawai di rumah kakaknya di Kemuyang.

“Saya harap, tahun depan saya akan berkesempatan untuk balik kampung,” ujar Nora, ibu tunggal empat anak.

  • oleh
  • Advertisement