Anda di sini

Bank Rakyat komited sediakan produk sentrik perbankan

Advertisement
 Orang ramai berbuka puasa sambil berkelah di hadapan mercu tanda negeri ini sekitar Tebingan Sungai Sarawak.
HARMONI: Orang ramai berbuka puasa sambil berkelah di hadapan mercu tanda negeri ini sekitar Tebingan Sungai Sarawak.
 Sekumpulan remaja membawa hidangan ketam untuk berkelah sambil berbuka puasa bersama pada Program Sungkei ERA bersama Bank Rakyat.
BERKELAH: Sekumpulan remaja membawa hidangan ketam untuk berkelah sambil berbuka puasa bersama pada Program Sungkei ERA bersama Bank Rakyat.

PIHAK Bank Rakyat komited untuk menyediakan produk sentrik perbankan serta dalam proses berterusan untuk memberikan lebih banyak pakej istimewa untuk para pelanggannya di Kuching.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan pelanggan setia pada Program Sungkei ERA bersama Bank Rakyat.

“Ia sejajar dengan kempen raya kita Ceria Beraya 2018 yang sudah bermula sejak 14 Mei lalu sehingga 13 Julai nanti iaitu menerusi pembiayaan sehingga RM200,000 sebagai persiapan raya.

“Selain itu, pelanggan turut berpeluang memiliki kereta baharu menerusi 100 peratus Pembiayaan Kenderaan-i serta 5 peratus pulangan rebat petrol apabila mengisi minyak setiap hari Khamis dengan Kad Kredit-i dan Kad Debit-i.

“Kita tidak lupa mereka yang memerlukkan justeru, pihak kami telah membawa anak-anak daripada Persatuan Autisme Kuching (KAA) untuk membeli baju raya selain menyampaikan sumbangan bagi tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Hilir,”  katanya.

Sekitar 50 kanak-kanak autistik, Pertubuhan Ibu Bapa Kanak-kanak Keperluan Istimewa Sarawak (PIBAKAT), Persatuan Bagi Kebajikan  Kanak-kanak Terencat Akal Sarawak (PERKAT) dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sri Satok hadir sama menyertai program tersebut.

Beliau meluahkan rasa gembira kerana sambutan yang diberikan oleh pelanggan di Sarawak untuk program tersebut mencecah 700 orang iaitu penganjuran kedua selepas yang dilaksanakan di Sabah bersama 300 orang.

Ruang legar berlatarbelakangkan Astana Negeri, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Jambatan Darul Hana di Tebingan Sungai Sarawak penuh dengan orang ramai yang datang bersama sahabat handai serta keluarga mereka untuk menyertai program tersebut.

Dua orang artis jemputan ERA Sarawak, Wani Hasrita dan Haqiem Rusli turut bergambar bersama peminat dan berbuka puasa bersama-sama.

Pihak Bank Rakyat berhasrat untuk mengadakan acara yang sama setiap tahun dengan kelainan tetapi ia masih di tahap perancangan setakat ini.

“Hari ini ramai yang berkumpul bersama iaitu pelanggan dan penyokong perbankan kami serta peminat ERA fm Sarawak. Acara ini adalah indah kerana kita berbuka puasa di kawasan lapang bersama.

“Tidak banyak tempat yang boleh kita lakukan aktiviti sedemikian dengan berkelah untuk berbuka puasa ramai-ramai.

“Fokus kita untuk kanak-kanak autisme kerana ini adalah pengalaman untuk mereka dan ini yang membuatkan ia unik,” katanya.

Turut hadir Ketua Wilayah 9 Bank Rakyat Mohamed Al Namiri Che Man dan Ketua Komunikasi Korporat Nizam Abu Samah.

Penyampai Radio ERA Sarawak yang turut berceloteh dan menceriakan majlis ialah Fir Affandi, Afick, Elya, Napio, Chopie, Ezri dan Jonathan Ding.

  • oleh
  • Advertisement