Anda di sini

Spike Lee pukau Cannes sekali lagi dengan filem ‘BlacKkKlansman’

Advertisement
SPIKE LEE
SPIKE LEE

SPIKE Lee, pengarah filem baharu ‘BlacKkKlansman’ yang memenangi tempat kedua di festival filem Cannes baru-baru ini, sudah memukau penonton selama lebih 30 tahun dengan gambarannya mengenai masyarakat kulit hitam di Amerika yang disemarak dengan campuran hiburan, aktivisme dan kemarahan.

Filem baharunya, yang memenangi Hadiah Juri Utama merupakan satu kritikan yang pedas dan kadang-kadang kelakar mengenai rasisme dengan kisah benar yang lebih pelik daripada fiksyen tentang seorang pegawai polis berbangsa Afrika-Amerika yang berjaya menyelinap ke dalam peringkat tertinggi kumpulan Ku Klux Klan.

Dengan Adam Driver yang masyhur dari ‘Star Wars’ sebagai rakannya yang berkulit putih, akhbar New York Times menyatakan Lee telah “menggegarkan Cannes sekali lagi. Ia adalah mengenai Amerika pada hari ini – protes langsung dan berang menentang era Trump”.

Lee mula-mula menarik perhatian di festival itu dengan filem cerekanya yang berjaya ‘She’s Gotta Have It’ – dengan penggambaran yang dibuat dalam masa dua minggu dalam hitam putih sewaktu musim panas yang teruk pada 1985, sebahagiannya hasil daripada wang simpanan neneknya.

Dengan filem itu, yang memenangi hadiah belia di Cannes, Lee “memecah siling kaca” bagi pembuat filem berkulit hitam dan “membuka pintu bagi semua orang yang datang selepasnya”, kata Michael Genet, seorang pelakon dan penulis lakon layar yang menulis skrip untuk komedi Lee pada 2004 ‘She Hate Me’.

Pengarah berbangsa Afrika-Amerika Ryan Coogler “tidak mungkin menjadi siapa dirinya pada hari ini dengan ‘Black Panther’ tanpa Spike Lee yang melakukan apa yang dia buat,” ujarnya. “Ia adalah mustahil.”

Lee – yang dilahirkan sebagai Shelton Jackson Lee di Georgia pada 20 Mac 1957 – dibesarkan dalam kejiranan Fort Greene di Brooklyn, di mana dia membuat filem ‘She’s Gotta Have It’ dan masih menjadi tempat syarikat penerbitannya, 40 Acres and a Mule Filmworks.

Dia mengabadikan kemenangan terbaharunya di Cannes itu kepada “Republik Rakyat Brooklyn”.

Lee, seorang lelaki kecil dengan tatapan tajam dari sebalik kacamatanya yang bulat, turut berlakon dalam filem pertama itu, dengan membawa watak sokongan sebagai Mars Blackmon yang petah bercakap, satu daripada tiga orang yang cuba memikat watak utama.

John Canada Terrell, salah seorang pelakonnya dalam filem itu, menggambarkan Lee sebagai “sejenis kucing berfikir yang sangat aneh”.

“Spike memang pendiam. Dia suka menyendiri tetapi saya memanggilnya lelaki idea,” imbau Herbert Eichelberger, seorang profesor madya perfileman di Universiti Clark Atlanta yang Lee anggap sebagai mentornya.

“Dia akan datang dengan semua jenis idea tentang membuat filem dan mengambil jenis pendekatan tertentu kepada sesuatu situasi.”

“Dari mula lagi, dia adalah seorang pencerita yang bagus,” kata Eichelberger, yang menyangka karier Lee akan fokus kepada dokumentari, memandangkan dia memiliki daya pemerhatian yang kuat.

Namun Lee menggunakan format itu hanya sekali sahaja, pada 1997 dengan ‘4 Little Girls’ – cerita yang dicalonkan untuk anugerah Oscar mengenai serangan bom yang bermotifkan sikap perkauman ke atas sebuah gereja Afrika-Amerika sewaktu pergerakan hak sivil di Amerika Syarikat.

Dalam dekad di antara kedua-dua filem itu, Lee membuktikan diri sebagai kuasa yang tidak boleh diketepikan, dengan menerbitkan filem yang selalunya berbaur politik seperti ‘Do the Right Thing’, ‘Malcolm X’ dan ‘Jungle Fever’.

Lee terus berada di luar kilauan biasa Hollywood, dan sentiasa ingat untuk mengawal pemasaran, pengedaran dan penyuntingannya sendiri. Filem cerekanya dibintangi kebanyakan barisan pelakon berkulit hitam.

“Dia mahu memutuskan apa yang dia sajikan sebagai filemnya,” kata Eichelberger, yang menambah Lee biasanya hanya membuat filem yang dia juga telah tulis.

Itu membolehkannya untuk menceritakan kisah menurut apa yang dia lihat, dengan mengadunkan hubungan manusia dengan tema sosial dan kelucuan gelap.

Kejayaannya di Cannes telah melonjakkan Lee untuk mencapai kegemilangan yang tidak dijangkakan – dia membuat beberapa iklan hitam putih Air Jordan untuk Nike, dengan membawa watak Mars Blackmon dan turut dibintangi legenda NBA Michael Jordan, yang mengubah pemasaran sukan buat selama-lamanya.

Lee sudah membuat pelbagai iklan lain dan video muzik sepanjang kariernya.

Dia juga kadang-kadang beralih daripada filemnya yang biasa untuk mengarah filem Hollywood yang lebih tradisional seperti filem aksi jenayah ‘Inside Man’ (2006) – salah satu kejayaan pecah panggungnya yang paling hebat.

“Tempoh antara ‘85 sehingga hari ini adalah umpama antara hari dan malam,” kata Lee pada Januari lalu apabila ditanya tentang orang kulit hitam dalam filem.

“Namun kita tidak dapat berpuas hati. Ia bukan sekadar membuat filem. Kita perlu masuk ke dalam kedudukan penjaga pagar itu supaya kita ada suara untuk menentukan apa yang boleh dibuat.” — AFP

Advertisement