Anda di sini

Ekspedisi Utara Sarawak promosi industri pelancongan luar bandar

Advertisement
 Dennis (diri depan, lapan kiri) menyampaikan sumbangan kepada Suffri (kiri Dennis) tanda sokongan beliau terhadap ekspedisi tahun ini.
SOKONGAN: Dennis (diri depan, lapan kiri) menyampaikan sumbangan kepada Suffri (kiri Dennis) tanda sokongan beliau terhadap ekspedisi tahun ini.
 Para peserta bergotong-royong mengalihkan pokok yang jatuh semasa ekspedisi.
ALIH: Para peserta bergotong-royong mengalihkan pokok yang jatuh semasa ekspedisi.
 Seorang peserta melalui jalan yang mencabar semasa ekspedisi.
MAHIR: Seorang peserta melalui jalan yang mencabar semasa ekspedisi.

SELAIN berkongsi minat untuk perjalanan ‘offroad’, kelab pacuan empat roda (4WD) kini lebih dikenali dengan program dan aktiviti berasaskan komuniti.

Kelab Pacuan Empat Roda Bandar Minyak Miri (OAC) dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri baru-baru ini telah menganjurkan Ekspedisi Utara Sarawak (NSE) yang bertujuan untuk mempromosi dan memajukan industri pelancongan luar bandar, khususnya di Baram.

Perjalanan bermula dari Jinhold Hotel & Serviced Apartment (Jinhold) di Miri dan konvoi mereka disertai lebih 50 peserta menaiki lebih 20 kenderaan 4WD pelbagai jenis menjelajah di sekitar bandar raya dan jalan pembalakan menuju ke Long Nakan di Ulu Baram.

Menurut Presiden OAC Mohd Suffri Hamdan, konvoi ini membolehkan mereka mengumpul peminat sukan ekstrem, kebanyakannya warga belia, untuk bersatu dan memberi bantuan dengan mempromosikan Baram sebagai destinasi pelancongan kepada para peserta dengan harapan agar mereka boleh menyampaikan mesej pelancongan kepada penduduk di kawasan masing-masing atau negara asal mereka termasuklah di Bintulu, Limbang, Lawas, Sabah dan Brunei.

“Objektif utama program ini ialah untuk mempromosikan pelancongan luar bandar di sekitar Baram dan pada masa sama mengukuhkan hubungan antara ahli kelab 4WD dari utara Sarawak dengan orang ramai, termasuk mereka yang tinggal di bandar kecil dan kawasan luar bandar,” jelas beliau.

Mohd Suffri berkata program kemasyarakatan yang memasuki edisi ketiga tahun ini telah mendapat maklum balas awam yang positif. Oleh itu, beliau ingin memperluaskan program tersebut ke beberapa daerah di bahagian utara negeri untuk menyumbang kepada kebaikan bersama.

“Selain menjadi landasan yang amat baik untuk para peserta berhubung dengan penduduk luar bandar di Baram, ekspedisi ini juga membolehkan kami mengetahui keperluan mereka di mana kami boleh menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan dalam masa terdekat,” kata beliau sambil menambah bahawa mereka sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan atau organisasi bukan kerajaan dalam menyalurkan bantuan.

Menyentuh aspek pelancongan untuk Baram, Mohd Suffri berkata Baram mempunyai peranan penting dalam pembangunan ekopelancongan.

“Baram memiliki kesemua unsur penting dalam pengalaman ekopelancongan yang luar biasa termasuk flora, fauna, monumen semula jadi dan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Mohd Suffri ditemui Utusan Borneo pada majlis makan malam yang dianjurkan oleh OAC untuk para peserta dan beberapa tetamu kehormat termasuk wakil Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Miri Rynnille Elsther Peter, ketua kampung Long Nakan Andrew Jau Anyie dan wakil Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Johnny Jabon.

Andrew meluahkan rasa terima kasih kepada semua peserta kerana telah melawat Long Nakan dan telah memilih rumah panjang tersebut sebagai destinasi utama untuk ekspedisi yang telah berlangsung selama empat hari pada tahun ini. Beliau menantikan lawatan mereka yang seterusnya.

“Kami percaya program ini telah memberi manfaat kepada kami, penduduk Long Nakan, terutamanya mereka yang mempunyai minat mendalam dalam 4WD termasuklah saya sendiri. Kami berharap program ini akan terus dianjurkan pada masa akan datang,” kata Andrew.

Rynnille mengucapkan tahniah kepada OAC untuk satu lagi edisi Ekspedisi Utara Sarawak yang telah berlangsung dengan jayanya.

“Adalah menjadi harapan kami program ini akan terus berlanjutan selama bertahun-tahun.

“Saya juga ingin menggalakkan peserta untuk mencari program yang serupa dengan ini dan menghadiri kursus yang melibatkan OAC sehingga mereka boleh diiktiraf sebagai tenaga pengajar yang mampu mengendalikan kursus yang melibatkan pacuan empat roda,” katanya.

Bagi ketua ekspedisi Dismond Dawat, peserta untuk edisi ketiga ekspedisi tahun ini telah terbukti lebih matang dan mampu menyesuaikan diri dengan sukan ekstrem tersebut dan persekitaran yang harus mereka tempuhi.

“Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dan cabaran, termasuklah jalan yang licin dan sempit, para peserta telah dapat melaksanakan ekspedisi kali ini dengan jayanya.

“Oleh itu, kami berharap untuk ekspedisi seterusnya, kami dapat menarik lebih ramai peserta terutamanya dari Indonesia, selain Sabah dan Brunei dan memperluaskan program tersebut ke tahap yang lebih tinggi. Beberapa cabaran juga akan diselitkan dalam program yang akan datang bagi membolehkan para peserta bersaing dalam kalangan mereka sendiri,” kata beliau.

Jesselton 4x4 Club, Borneo Triton Club, Kubu Adventure Club dan Lawas 4x4 Club adalah antara kelab pacuan empat roda yang telah mengambil bahagian dalam Ekspedisi Utara Sarawak tahun ini.

Majlis makan malam yang juga menandakan ulang tahun kelima untuk OAC, kelab 4WD pertama yang berdaftar dengan pesuruhjaya sukan di Miri pada tahun 2013, telah dimeriahkan dengan sesi karaoke dan cabutan bertuah.

  • oleh
  • Advertisement