Anda di sini

TNB peroleh Siemens sebagai penaja berlian untuk CEPSI 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), tuan rumah Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 yang berlangsung dari 17 hingga 22 Sept depan, memperoleh Siemens sebagai penaja Berlian.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Korporat TNB dan Persatuan Industri Bekalan Elektrik dan Setiausaha Agung Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP) (2017/2018), Datuk Wira Roslan Ab. Rahman berkata menerusi pembabitan Siemens, CEPSI 2018 setakat ini memperoleh 18 penaja.
“Kami bangga memperoleh Siemen yang terkenal atas kejayaannya  dalam bidang elektrifikasi, automasi dan digital, sebagai penaja CEPSI 2018.
“Tajaan ini membuktikan CEPSI merupakan acara yang wajib disertai peserta industri tenaga elektrik untuk mendapatkan maklumat, bertukar maklumat, mempamerkan teknologi terkini dan meraih manfaat menerusi peluang rantaian,”katanya dalam satu kenyataan semalam.
Penaja lain terdiri daripada ABB, GE, Accenture, Huawei, Sarawak Energy, CG Power Systems Indonesia sebagai penaja Platinum; manakala Tai Chyun Ind sebagai penaja Emas.
TNB juga memperoleh Schneider Electric, dan Pestech Energy, Ernst & Young sebagai penaja Perak, manakala Nokia, GMR Energy Ltd, Malakoff, Oracle, PWC, Andritz dan Sagemcom sebagai penaja Gangsa.
CEPSI 2018, bertemakan Reimagining Utility of the Future’’ akan menyokong senario semasa bagaimana industri bekalan elektrik berubah sebagai tindak balas kemunculan dan penumpuan gangguan teknologi, peralihan ekonomi, perkembangan kelestarian dan keperluan pengawalseliaan, serta meningkatkan jangkaan pelanggan.
Lebih 1,500 perwakilan, yang terdiri daripada pemimpin industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan pakar profesional dari seluruh dunia, dijangka menghadiri CEPSI 2018. — Bernama

Advertisement