Anda di sini

Sesak balik kampung

Advertisement
 Penumpang bot ekspres sibuk menyimpan barang mereka di atas bot ekspres.
BALIK KAMPUNG: Penumpang bot ekspres sibuk menyimpan barang mereka di atas bot ekspres.

SIBU: Walaupun dalam keadaan hujan lebat ia tidak menggugat sedikit pun 'mood' balik kampung sempena sambutan Hari Gawai di Terminal Bot Ekspres Sibu di sini semalam.
Kemeriahan balik kampung jelas kelihatan apabila lebih banyak perjalanan bot tambahan diluluskan semalam berbanding Sabtu (kelmarin) bagi menampung permintaan tinggi.
Penolong Kontroler Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Wilayah II Sibu Hatta Morshidi berkata lima perjalanan bot tambahan diluluskan untuk laluan Sibu-Kapit tengah hari semalam.
"Kami menganggarkan 10 perjalanan tambahan (termasuk lima diluluskan sebelum ini) menjelang Hari Gawai," katanya sambil menambah tiga perjalanan tambahan diluluskan pada Sabtu lalu.
Menurut Hatta, terminal itu menerima seramai 3,449 penumpang pada Sabtu lalu sementara jeti sepanjang Jalan Khoo Peng Loong di sini mencatat jumlah 985 penumpang.
Beliau berkata daripada 3,449 penumpang, penumpang berlepas penyumbang teramai iaitu 1,977 manakala ketibaan 1,472 orang.
Berhubung jumlah itu, Hatta mengamati penumpang berlepas semakin meningkat sementara ketibaan menurun.
"Ini bermakna lebih ramai penumpang balik ke Song dan Kapit kerana sambutan Hari Gawai semakin hampir," katanya.
Ditanya sama ada terdapat jadual perjalanan bot yang tertangguh oleh cuaca buruk semalam, beliau menjawab tiada yang terjejas.
"Semua bot berjalan seperti dijadualkan," katanya selain mengingatkan juragan bot mengambil langkah berjaga-jaga.
"Mereka juga perlu berhati-hati dengan serpihan objek yang terapung," tambahnya.
Fasa pertama operasi perayaan Gawai Dayak seluruh negeri bermula dari 25 hingga 31 Mei manakala fasa kedua dari 8 hingga 10 Jun.
Ia juga melibatkan jabatan atau agensi lain seperti polis, Polis Marin, Jabatan Laut Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

  • oleh
  • Advertisement