Anda di sini

Rumah Dayak didirikan di Sibu

Advertisement
 Chambai (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Uggah selepas menyempurnakan Majlis Pra-Gawai Dayak Sibu 2018 malam kelmarin.
TANDA INGATAN: Chambai (empat kanan) menyampaikan cenderamata kepada Uggah selepas menyempurnakan Majlis Pra-Gawai Dayak Sibu 2018 malam kelmarin.

Oleh Watt Zacchaeus

SIBU: Hasrat dan impian masyarakat Dayak di sini sejak beberapa dekad lalu mahu melihat sebuah Rumah Dayak didirikan di Sibu bakal direalisasikan selepas mendapat perhatian kerajaan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri bersedia memberi sokongan kepada Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu untuk membina Rumah Dayak di sini.
“Cadangan mendirikan sebuah Rumah Dayak di Sibu memang sudah lama diperkatakan oleh komuniti di sini iaitu sejak saya mula berkhidmat di Sibu pada 1976-1977 dahulu.
“Namun sehingga hari ini masih belum dilaksanakan. Justeru, bagi merealisasikan hasrat dan impian komuniti Dayak di sini saya bersedia membantu menjadikan impian ini menjadi kenyataan,” katanya pada Majlis Pra-Gawai Dayak Sibu 2018 di Dewan Suarah Sibu, malam kelmarin.
Hadir sama isterinya, Datin Amar Doreen Mayang, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Sains Dr Annuar Rapa’ee, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti merangkap Setiausaha Agung SDNU Datuk Alice Jawan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, ADUN Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat, tiga Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong, Petrus Igat Matthias serta Daniel Bujal, Temenggung Stanley Gramong dan Pengerusi SDNU Sibu yang juga pengerusi pengelola, Chambai Lindong.
Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu mahu ahli-ahli SDNU Sibu komited memfokuskan perkara tersebut dengan bersungguh-sungguh demi impian masyarakat Dayak di sini selama ini.
“Ini kerana kita tidak mahu seperti Rumah Dayak di Kuching dan kita masing-masing tahu apa terjadi dengan projek itu.
“Oleh itu, saya menyeru kepada Jawatankuasa SDNU Sibu yang terlibat dengan pelaksanaan Rumah Dayak supaya lebih fokus,” jelasnya.
Bercakap mengenai perkara lain, Uggah berkata satu forum atau simposium akan diadakan pada Julai akan datang.
ADUN Bukit Saban itu menjelaskan bahawa forum itu menjadi satu landasan membincangkan hala tuju rakyat dan negeri ini pada 2030.
“Kita berhasrat menuju ke peringkat lebih baik bersama, tidak ketinggalan melonjakkan ekonomi lebih tinggi menjelang 2030.
“Semua dilaksanakan itu adalah untuk manfaat semua rakyat di negeri ini agar tidak ketinggalan dari segi menjana pendapatan lebih tinggi pada 2030,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut memuji usaha SDNU Sibu mengagihkan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam. 
Seramai 175 pelajar Dayak menerima insentif pendidikan yang disampaikan Uggah.
Sebagai tanda sokongan terhadap peruntukan insentif itu, Uggah turut mengumumkan peruntukan sejumlah RM10,000.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada jawatankuasa majlis pra-Gawai itu dan RM10,000 lagi untuk Kelab Gagong Sarawak.

  • oleh
  • Advertisement