Anda di sini

Ringgit dijangka meneruskan momentum harga menurun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan momentum harga menurun berbanding dolar AS minggu ini, kepada antara 3.96 dan 4.00, terutama disebabkan oleh faktor luaran, kata penganalisis.
Ketua Pedagang OANDA di Asia-Pasifik Stephen Innes berkata ringgit  kemungkinan menguji paras 4.00, tertakluk kepada momentum ketara dolar AS, dengan faktor luaran akan memacu pergerakan, dengan mata wang ekonomi pesat membangun, secara umumnya akan mengalami tekanan.
“Sementara itu, harga minyak dilihat sebagai terlalu ‘berat’ pada perspektif fundamental dan teknikal, yang mencadangkan bahawa pasaran aliran harga tinggi kini sudah semakin hampir untuk berakhir.
“Dan ini mungkin memberi wajaran ke atas sentimen ringgit, Kemungkinan peningkatan keluaran oleh OPEC (Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak) disebabkan kebimbangan dunia mengenai bekalan dari Venezuela dan Iran yang boleh menyebabkan ketidakpatuhan oleh OPEC/Bukan OPEC.
“Walaupun saya tidak percaya ini akan berlaku, saya perlu mengambil tindakan melindungi diri daripada sebarang kemungkinan, dan mengurangkan risiko ke atas minyak jangka panjang minggu depan (minggu ini),” katanya kepada BERNAMA.
Sementara itu, Ketua Strategi Global dan Penyelidik Pasaran FXTM Jameel Ahmad berkata ekonomi Malaysia dijangkakan lengang minggu ini memandangkan jadual angka data yang sangat rendah mulai minggu ini.
“Saya sendiri akan memantau rapat bagaimana pelabur akan bertindak balas ke atas dolar AS memandangkan pengukuhan semula semasa dolar telah memberi tekanan ke atas mata wang negara pesat membangun sejak beberapa minggu lepas, manakala pembatalan sidang kemuncak AS-Korea Utara turut berpotensi menjejaskan mata wang tempatan.
“Jika minat pelabur terhadap risiko berkurangan ekoran perkembangan ini, ia mungkin menjurus kepada permintaan belian yang berkurangan ke atas aset pasaran pesat membangun seperti ringgit,” katanya kepada BERNAMA.
Jameel berkata pergerakan dolar AS-ringgit banyak bergantung kepada sejauh mana faktor luaran memberi impak ke atas sentimen pelabur ke atas mata wang ekonomi pesat membangun, namun pasaran tidak dapat mengetepikan ringgit kembali ke paras melepasi 4.00 berbanding dolar US jika pelabur menguna pakai pendirian tidak mengambil risiko.
“Jika sentimen pelabur kekal seperti minggu lepas, ringgit mungkin didagangkan dalam julat yang sama seperti minggu sebelumnya memandangkan ia menunjukkan daya tahan ke arah bertahan pada paras tersebut,”katanya.
Ringgit didagangkan bercampur-campur minggu lepas selepas pilihan raya umum, selari dengan pergerakan minyak, selain kebimbangan mengenai kemungkinan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dinaikkan apabila minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS disiarkan minggu lepas.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, nota tempatan rendah berbanding dolar kepada 3.9790/9830 daripada 3.9700/9740. 
Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 2.9721/9753 daripada 2.9523/9557 dan rendah berbanding yen kepada 3.6348/6391 berbanding 3.5769/5815.
Ringgit bagaimanapun mengukuh berbanding pound British kepada 5.3128/3197 daripada 5.3516/3577, dan tinggi berbanding euro kepada 4.6606/6665 daripada 4.6751/6806 sebelumnya. — Bernama

Advertisement