Anda di sini

Kerajaan baharu dibentuk hasil kerjasama semua, kata Shafie

Advertisement
 Shafie menerima manifesto UPKO daripada Madius (kiri) pada Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2018.
KERJASAMA: Shafie menerima manifesto UPKO daripada Madius (kiri) pada Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2018.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan dirinya bukan sahaja pemimpin untuk golongan muslim, tetapi juga kepada masyarakat bukan Islam di Sabah.
Katanya, kerajaan baharu yang dibentuk adalah hasil kerjasama daripada semua masyarakat di Sabah, termasuk mereka yang berasal dari kaum KadazanDusun dan Murut (KDM) serta komuniti Cina.
“Perubahan yang dilakukan kali ini adalah suara daripada semua rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
“Suara lantang mereka (rakyat) terpapar dalam surat khabar, media massa dan kemudian diterjemahkan dalam undi mereka,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2018, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata kerajaan kini yang terdiri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) perlu memastikan perkara yang dikehendaki rakyat dapat ditunaikan.
Katanya, sekiranya perkara-perkara itu tidak dapat ditunaikan, rakyat akan menghukum kerajaan kini pada pilihan raya akan datang.
“Pastikan apa yang rakyat inginkan ditunaikan...sekiranya tidak, saya yakin kita akan ditolak pada pilihan raya akan datang.
“Saya berharap kerjasama daripada UPKO akan diteruskan pada masa hadapan. Kita juga perlu belajar daripada kesilapan yang pernah dilakukan oleh pemimpin dahulu sejak penubuhan Malaysia sehingga kini,” katanya.
Shafie yang juga Menteri Kewangan menjelaskan perubahan yang dilakukan bukan berlandaskan kaum sebaliknya sama rata antara komuniti di Sabah.
Katanya, jauhi segala pertelingkahan kerana keadaan seumpamanya tidak akan mendatangkan manfaat kepada rakyat di negeri ini. 
“Ambil contoh daripada luar negara...kita harus mencari persamaan, persefahaman sebagai bangsa Sabah mempunyai hak sama rata di negeri ini.
“Walaupun saya pemimpin beragama Islam tetapi saya tidak sesekali melupakan agama lain seperti Kristian dan Buddha dari kalangan masyarakat KDM dan Cina di sini,” katanya.
Shafie turut memberikan jaminan bahawa bantuan-bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam akan sentiasa disalurkan.
“Sekiranya kerajaan negeri mempunyai dana mencukupi...kita juga akan memberikan elaun kepada semua pastor di Sabah,” katanya.
Hadir sama Pemangku Presiden UPKO yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick serta pemimpin UPKO lain.

Advertisement