Anda di sini

Kekalkan semangat perpaduan dan kerjasama

Advertisement
 Hasidah merakam kenangan bersama penduduk Kampung Sungai Midin.
UNTUK KENANGAN: Hasidah merakam kenangan bersama penduduk Kampung Sungai Midin.

KUCHING: Kekalkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Perkara itu ditegaskan Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali pada pengagihan bubur pedas di Kampung Sungai Midin di sini kelmarin.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur dan penduduk kampung yang telah bekerjasama dan bergotong-royong menjayakan program pengagihan bubur pedas ini.
“Semangat kerjasama dengan mengadakan gotong-royong melakukan kerja dapat memudahkan kita semua dan inilah yang perlu kita jaga dan pelihara sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata kerjasama amat penting agar semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat sentiasa subur dan dipelihara.
“Saya berhadap program seumpama ini dapat kita teruskan dan lakukan secara bersama agar kita dapat meningkatkan lagi keharmonian hidup sesama kita,” ujarnya.
Selepas itu, beliau bersama rombongan menghadiri Majlis Agihan Bubur Lambuk sempena bulan Ramadan Al-Mubarak dan penyampian sumbangan bantuan berupa kerusi roda kepada warga emas di Kampung Tunku dan Kampung Sungai Bedil.
Malah, beliau sempat mengagihkan bubur lambuk dari rumah ke rumah dan kehadirannya amat disenangi penduduk setempat.

Advertisement