Anda di sini

Bekas TKM Daniel Tajem meninggal dunia

Advertisement
 Ivy serta ahli keluarga meratapi pemergian mendiang Tajem di kediamannya di Tabuan Jaya di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
SEDIH: Ivy serta ahli keluarga meratapi pemergian mendiang Tajem di kediamannya di Tabuan Jaya di Kuching semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Bekas Timbalan Ketua Menteri (TKM) Dato Sri Daniel Tajem meninggal dunia di kediamannya di Tabuan Jaya di sini awal pagi semalam pada usia 82 tahun. 
Balunya, Datin Sri Ivy Tajem yang bersama mendiang pagi semalam berkata mendiang ada mengadu sukar bernafas tetapi tidak menjangkakan akan pergi meninggalkan mereka. 
“Dua tiga hari yang lepas, beliau ada mengadu sakit belakang dan pagi tadi (semalam) beliau mengadu sukar bernafas. 
“Jadi, saya memberitahunya akan menghubungi anak kami untuk membawanya ke hospital. 
“Tetapi selepas itu kira-kira jam 7.10 pagi beliau menghembuskan nafas terakhir,” katanya yang ditemui di kediamannya semalam. 
Selain balu, Tajem turut meninggalkan tiga anak iaitu Mervyn, Raymond dan Angeline serta tujuh cucu. 
Mendiang akan dikebumikan di Nirvana Bau pada 30 Mei ini selepas upacara sembahyang di Katedral St Thomas di sini pada jam 9 pagi. 
Dalam pada itu mendiang memulakan kerjayanya dalam bidang politik pada 1973 dengan menyertai Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). 
Pada 1974 beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dan mempertahankan semula kerusi tersebut pada 1979. 
Pada 23 Mac 1981, Tajem dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan turut memegang portfolio Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar sehingga 1987. 
Berikutan krisis kepimpinan dalam SNAP pada 1983, Tajem bersama Tan Sri Leo Moggie meninggalkan parti dan menubuhkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). 
Pada tahun 1996, Tajem menerima jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sehingga 16 Ogos 2000.
Selepas bersara daripada politik, mendiang menurut isterinya banyak meluangkan masa di rumah bersama keluarga dan gemar berkebun. 

Advertisement