Anda di sini

Wan Junaidi akan usaha bantu tiga keluarga terjejas kebakaran

Advertisement
 Wan Junaidi (empat kanan) menjelaskan situasi terkini mengenai skim rumah mampu milik kepada mangsa dan penduduk lain di tapak kebakaran. Turut kelihatan Feona (tiga kanan).
LAWAT: Wan Junaidi (empat kanan) menjelaskan situasi terkini mengenai skim rumah mampu milik kepada mangsa dan penduduk lain di tapak kebakaran. Turut kelihatan Feona (tiga kanan).

KUCHING: Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan berusaha untuk membantu tiga keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Kampung Bintawa Hilir, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak dapat menjanjikan apa-apa untuk tiga keluarga tersebut berikutan perubahan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

“Dulu di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) kita ada program seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan projek-projek lain untuk membantu rakyat kita yang susah termasuk mangsa kebakaran yang kehilangan tempat tinggal.

“Tetapi, yang menjadi masalah sekarang ialah program-program ini mungkin telah tergantung kerana kita belum tahu apa garis panduan yang dibuat atau akan dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan yang baharu.

“Dalam keadaan sedemikian, saya tidak dapat berjanji kepada mereka tetapi jika program-program ini diteruskan oleh kerajaan persekutuan yang baharu dan ada kuota untuk Sarawak, kita akan mohon bagi pihak mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan bantuan kepada mangsa kebakaran dalam kejadian Rabu lepas yang memusnahkan tiga rumah dan menyebabkan 14 kehilangan tempat tinggal.

Bersimpati dengan nasib yang menimpa kesemua mangsa, Wan Junaidi serta isteri Datin Seri Feona Wan Junaidi semalam menziarahi mangsa dan menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada setiap mangsa.

Sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban mangsa lebih-lebih lagi menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita amat bersimpati dengan apa yang telah menimpa mangsa kebakaran ini lebih-lebih lagi dalam bulan yang mulia ini di mana semua umat Islam sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Advertisement