Anda di sini

Tiba-tiba terjun sungai

Advertisement
 Anggota bomba melakukan perbincangan sebelum operasi SAR dimulakan semalam.
GERAKAN: Anggota bomba melakukan perbincangan sebelum operasi SAR dimulakan semalam.

LUNDU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tiba-tiba terjun ke Batang Kayan dari Pangkalan Haji Mahyan di sini, awal pagi semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 2.37 pagi selepas dihubungi anggota dari Balai Polis Lundu.

Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Mohamad Norrahim Hipni, 20-an.
“Maklumat daripada rakannya mengatakan dia melihat mangsa (dari jauh) secara tiba-tiba terjun ke sungai.

“Dia terus memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung untuk membantu mencari mangsa.

“Bagaimanapun, usaha mencari mangsa gagal dan mereka kemudian menghubungi pihak polis yang seterusnya memaklumkan kepada kami (bomba),” katanya.

Beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu dikerahkan ke lokasi kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan selepas itu yang turut disertai anggota polis serta penduduk kampung.

“Pencarian menggunakan kaedah ‘water surface searching’ di sekitar lokasi mangsa dipercayai terjun ke sungai,” katanya.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih dijalankan.

Seramai sembilan anggota BBP Lundu bersama tujuh anggota PPDA BBP Batu Lintang dan tiga anggota polis serta 10 penduduk kampung terlibat dalam operasi SAR semalam.

  • oleh
  • Advertisement