Anda di sini

Shnell Philip dinobat sebagai Kumang Gawai di Moyan Square

Advertisement
 Sidi (duduk barisan kedua, tiga kanan) merakamkan gambar bersama peserta kumang dan jawatankuasa penganjur. Turut kelihatan Pengurus Moyan Square Shopping Mall Nigel Bong (kiri Sidi) dan Ketua ASADIA, Mabong Unggang (kanan Sidi).
KECERIAAN GAWAI: Sidi (duduk barisan kedua, tiga kanan) merakamkan gambar bersama peserta kumang dan jawatankuasa penganjur. Turut kelihatan Pengurus Moyan Square Shopping Mall Nigel Bong (kiri Sidi) dan Ketua ASADIA, Mabong Unggang (kanan Sidi).

SHNELL Philip, 24, dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Kumang Gawai 2018 pada pertandingan akhir di Moyan Square Shopping Mall di Kuching pada 19 Mei lepas.

Pertandingan tersebut merupakan yang julung kalinya diadakan dengan kerjasama antara pusat beli-belah tersebut dengan tiga organisasi bukan kerajaan (NGO).

Tiga NGO yang terlibat dalam menjayakan pertandingan tersebut ialah Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), Terabai Menoa dan Persatuan Sisterhood & Brotherhood.

Majlis penyampaian hadiah telah dihadiri oleh Presiden SADIA, Sidi Munan di mana beliau telah menyatakan penghargaan kepada pihak Moyan Square atas kerjasama memartabatkan seni warisan budaya Iban seperti pertandingan kumang ini.

Pertandingan ini katanya adalah platform untuk mempromosikan pakaian tradisional wanita Iban serta wanita Dayak dari suku kaum yang lain seperti Bidayuh dan Orang Ulu.

“Bagi pihak SADIA, kita berterima kasih kepada pihak Moyan Square yang turut menyokong usaha kita memartabatkan lagi seni warisan budaya bangsa kita Dayak Iban.

“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa yang akan datang,” katanya.

Manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Maya Nuyang dan Rachel Frankie.

Maya dan Rachel masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200 dan RM100 juga berserta trofi, hamper dan sijil penyertaan.

Manakala lima lagi peserta menerima hadiah sagu hati berupa wang tunai, hamper dan sijil penyertaan.

Pertandingan tersebut diserikan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan oleh ahli-ahli kebudayaan Akademi SADIA (ASADIA).

Antara tarian yang dipersembahkan ialah tarian Ngajat Iban, tarian orang Bidayuh dan juga tarian Orang Ulu serta persembahan kuntau (seni mempertahankan diri Iban).

  • oleh
  • Advertisement