Anda di sini

Sarawak akan tegur k’jaan PH jika pinggir rakyat, negeri

Advertisement
 Idris menyampaikan geran kepada Ainnie mewakili 73 penerima sambil disaksi tetamu kehormat lain.
SIMBOLIK: Idris menyampaikan geran kepada Ainnie mewakili 73 penerima sambil disaksi tetamu kehormat lain.

KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan menegur kerajaan persekutuan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) jika meminggirkan pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Idris Buang ketika berucap pada majlis penyampaian geran dan sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri dan Gawai di Markas PBB DUN Muara Tuang di sini semalam.

“Jika kerajaan pusat yang dipimpin PH menganaktirikan Sarawak, kita akan tegur mereka, sebab itu kita (Barisan Nasional Sarawak) tidak menyertai PH tetapi memberi kerjasama dari segi pelaksanaan pembangunan untuk rakyat dan negeri ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Sarawak akan menyokong dasar yang dibuat kerajaan PH jika memberi manfaat kepada rakyat dan negeri.

“Sekiranya dasar yang disediakan itu tidak memberi manfaat kepada rakyat, kita akan bantah kerana apa yang penting adalah kepentingan rakyat diberi keutamaan,” tegasnya.

Idris yang juga Ketua Penerangan PBB berkata, sokongan rakyat terhadap parti itu masih kukuh di negeri ini yang harus dipelihara sebaik-baiknya.

Justeru, beliau berharap agar setiap ahli dapat memelihara dan menjaga parti sebaik-baiknya agar negeri ini tidak ditadbir oleh parti dari luar.

Menyentuh tentang masalah bekalan air dan elektrik di negeri ini, beliau menegaskan kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan keperluan tersebut.

“Untuk mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa adalah salah kerana kita sentiasa berusaha melaksanakan projek ini secara berperingkat,” jelasnya.

Pada majlis itu, Idris menyampaikan geran dan sumbangan sempena Hari Raya dan Gawai keseluruhan berjumlah RM133,500 kepada 73 penerima terdiri daripada wakil surau, masjid dan JKKK kampung-kampung masyarakat Dayak.

Beliau berharap sumbangan itu dapat dimanfaatkan untuk menjalankan aktiviti di kampung masing-masing sempena perayaan ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Kota Samarahan Mohd Ainnie Wahab dan tetamu kehormat lain.

  • oleh
  • Advertisement