Anda di sini

Pewujudan kementerian langkah tepat tambah baik khidmat kesihatan di Sabah

Advertisement
Dr Nerenthran
Dr Nerenthran

KOTA KINABALU:  Pewujudan portfolio baharu dalam Kabinet negeri iaitu Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah adalah langkah tepat yang diambil oleh kerajaan pada masa kini.

Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi Hospital KPJ Specialist Kota Kinabalu Dr Nerenthran Loganathan berkata, menerusi portfolio baharu yang diterajui oleh Ahli Parlimen Sandakan Stephen Wong itu, perkhidmatan kesihatan di negeri ini akan bertambah baik.

"Saya rasakan ini adalah keputusan yang baik memandangkan masalah kesihatan di Sabah tidak sama dengan masalah yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
 
"Akses fasiliti perubatan di luar bandar juga masih agak rendah... jika ada kementerian kesihatan sendiri, ia akan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya penduduk kampung untuk mendapatkan fasiliti yang lebih baik," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini pada Khamis.
 
Beliau berkata, kerja pengawalan dan pencegahan bagi kes penyakit yang sering berlaku di pelosok negeri ini seperti tuberkulosis (batuk kering) dan wabak malaria akan mudah dilaksanakan.
 
Dr Nerenthran menjelaskan, tahap kes penularan penyakit berkenaan juga adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan kes yang berlaku di Semenanjung seperti demam denggi.
 
"Ini menjadi penyelesaian terbaik yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk penjagaan dan rawatan kesihatan yang akan lebih memfokuskan secara menyeluruh di negeri ini.
 
"Pada masa sama, sudah tentu beberapa organisasi perubatan di bawah kementerian ini juga akan terus bertambah bagi memberi perkhidmatan di setiap kawasan," katanya.
  • oleh
  • Advertisement