Anda di sini

Perwakilan Upko persetujui usul hala tuju parti

Advertisement
SHAFIE tiba di majlis itu sambil diiringi Madius (belakang).
SHAFIE tiba di majlis itu sambil diiringi Madius (belakang).

PENAMPANG: Para perwakilan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) sebulat suara bersetuju dengan usul hala tuju parti itu berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

 
Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya menerima hakikat bahawa PRU14 lalu memberikan kejutan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya Sabah yang mana kemenangan berpihak kepada Pakatan Harapan (PH).
 
"Di sini pula, kemenangan berpihak kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya dari PH.
 
"Keputusan pilihan raya itu adalah satu isyarat dan juga suara rakyat yang menolak sekeras-kerasnya parti Barisan Nasional (BN) dan Umno sebagai parti pemerintah selama ini.
 
"Kita juga menerima hakikat bahawa untuk meneruskan perjuangan Upko dengan lebih berkesan, kita perlulah berada dalam pembangunan arus perdana iaitu berada bersama kerajaan semasa," katanya pada Persidangan Perwakilan Luar Biasa Upko 2018, di sini, petang Sabtu.
 
Beliau berkata, penubuhan kerajaan campuran bersama Warisan adalah satu keputusan bagi menentukan perjuangan bangsa Kadazandusun Murut (KDM) diteruskan dalam kerajaan.
 
Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, perjuangan itu berdasarkan kepada tujuh teras perjuangan parti selain memastikan agar Upko masih terus relevan dan maju dalam politik negeri serta seiring dengan pembangunan arus perdana.
 
"Maka, keputusan Majlis Tertinggi Upko yang dibuat pada 10 Mei lepas, sehari selepas keputusan pilihan raya diumumkan, telah sebulat suara membuat keputusan supaya Upko keluar daripada gagasan BN.
 
"Kita juga telah akur untuk menubuhkan kerajaan campuran bersama Warisan, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," katanya.
 
Dalam persidangan itu, para perwakilian turut bersetuju dengan dua lagi usul iaitu pindaan perlembagaan parti dan menyokong keputusan majlis tertinggi untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan dan Bahagian serta persidangan perwakilan tritahunan.
 
Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
  • oleh
  • Advertisement