Anda di sini

Pemilihan PBT mungkin dalam tiga tahun lagi: Zuraida

Advertisement
 Zuraida melakukan tinjauan di Rumah Transit Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
LAWATAN: Zuraida melakukan tinjauan di Rumah Transit Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin boleh dilaksanakan dalam masa sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengutamakan pelbagai perkara penting lain terlebih dahulu seperti memastikan  kedudukan kewangan negara stabil.

“Kita juga perlu melihat implikasi kos… tetapi saya rasa ia boleh dilaksanakan tiga tahun lagi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Transit Pinggiran Bukit Jalil di sini semalam bagi mengetahui masalah penduduk.

“Dalam masa enam bulan ini kita akan lakukan kajian terperinci mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah pemilihan PBT perlu kerana bagi negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat berhak bukan sahaja memilih kerajaan pusat dan negeri semata-mata tetapi juga peringkat kerajaan tempatan.

“Kita mungkin juga boleh laksanakan pemilihan ini secara berperingkat seperti di Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum ia diadakan di seluruh negara,” kata Zuraida.

Menurutnya, pemilihan PBT bukan satu perkara yang asing kerana ia telah dilaksanakan di beberapa negara lain seperti Indonesia dan Korea Selatan.

Mengenai masalah orang muda yang dilaporkan sukar mendapatkan pinjaman perumahan, Zuraida berkata pihaknya telah memulakan perbincangan dengan pihak bank tempatan bagi mencari penyelesaian.

“Kita faham bank ni kadang-kadang ada peraturan yang ketat untuk pinjaman perumahan, jadi kita akan cuba kemukakan satu inisiatif bagi membantu pembeli di samping tidak  menjejaskan bank,” katanya. — Bernama

Advertisement