Anda di sini

Mayat mangsa terakhir bot panjang karam, warga emas dijumpai

Advertisement
Mayat Eviline ditemui pada jam 9.55 pagi
Pasukan SAR membawa mayat Eviline ke tebing sungai selepas ditemui pada jam 9.55 pagi
Pasukan SAR mengangkat mayat Anjan
Pasukan SAR mengangkat mayat Anjan selepas ditemui pagi tadi

JULAU: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemukan mayat mangsa terakhir tragedi bot panjang karam di Nanga Ensiring Julau hari ini, sebelum menjumpai mayat seorang warga emas yang lemas di Nanga Sayong Entabai Julau lebih kurang sejam kemudian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, mayat Eviline Linty Kaya, 23 ditemui di kawasan Lubuk Juge, Nanga Selurung pada jam 9.55 pagi manakala mayat Anjan Nyua, 66 dijumpai pada jam 11.08 pagi.

"Kedua-dua lokasi kejadian ini adalah berada laluan sungai yang sama dan berikutan dengan penemuan kedua-dua mangsa tersebut, operasi SAR ditamatkan operasinya pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kedua-dua mayat yang ditemui tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan yang selanjutnya," katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam kejadian 5 petang Khamis lepas, empat sekeluarga yang sedang dalam perjalanan pulang menaiki bot panjang ke rumah panjang mereka di  Rumah Bedali, Nanga Ensiring, karam di kawasan yang dikenali sebagai Lubuk Sepali yang terletak lebih kurang 50 meter dari jeti rumah panjang mereka.

Akibat kejadian tersebut, tiga orang mangsa, iaitu dua wanita Lenny Ingang, 54 tahun dan Eviline Linty Kaya, 23 tahun serta seorang  kanak-kanak lelaki Kelvin Sama Markus, 6 tahun dilaporkan hilang dibawa arus sungai yang deras, manakala pemandu bot, Markus Kaya, 25, terselamat.

Pada tengah hari Jumaat lepas, mayat seorang wanita yang dipercayai Lenny Ingang, dijumpai di  kawasan tebing sungai berhampiran dengan Rumah Gani, Wong Bar, di sini, manakala mayat kanak-kanak berkenaan ditemukan di Nanga Sepancur.

Dalam kes berasingan pada 22 Mei yang membabitkan kehilangan seorang lelaki warga emas, mangsa dilaporkan hilang di sungai terbabit ketika balik dari menghadiri majlis Pra Gawai di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entabai Julau pada jam sekitar 12.30 tengah malam.

  • oleh
  • Advertisement