Anda di sini

Mangsa terselamat serangan di sekolah Texas rayu sekatan senjata api diperketat

Advertisement
 Beberapa orang membawa keluar keranda Christian Riley Garcia salah seorang mangsa pembunuhan serangan senjata api di Sekolah Tinggi Santa Fe ketika upacara pengebumiannya di Gereja Crosby di Texas, AS kelmarin. — Gambar Reuters
SUASANA PILU: Beberapa orang membawa keluar keranda Christian Riley Garcia salah seorang mangsa pembunuhan serangan senjata api di Sekolah Tinggi Santa Fe ketika upacara pengebumiannya di Gereja Crosby di Texas, AS kelmarin. — Gambar Reuters

CHICAGO: Mangsa yang terselamat dalam serangan senjata api baru-baru ini di sebuah sekolah Texas mempertingkatkan seruan mereka bagi pembaharuan termasuk sekatan senjata api yang lebih ketat kelmarin, sementara beberapa rakan sekelas mereka dikebumikan.

Lapan kanak-kanak dan dua dewasa maut seminggu lalu apabila pelajar Sekolah Tinggi Santa Fe, Dimitrios Pagourtzis, melepaskan beberapa das tembakan dengan senapang patah dan pistol di dalam sekolahnya di kawasan desa tenggara Texas, yang turut mencederakan 13 orang.

Pelajar pertukaran Pakistan, Sabikah Sheikh, 17, dikebumikan Rabu lepas di Karachi.

Di Texas, tiga pengebumian pertama diadakan kelmarin bagi guru gantian Cynthia Tisdale, 64, dua pelajar Christian Riley Garcia, 15, dan Christopher Stone, 17.

Sementara Santa Fe berusaha untuk pulih ekoran tragedi 18 Mei, sekumpulan pelajar di sana secara terbuka menuntut sekatan senjata api, selain pembaharuan lain, untuk membasmi kejadian serangan besar-besaran yang merosakkan kehidupan di Amerika Syarikat.

“Hakikatnya ialah jika kita tidak melakukan sesuatu, bandar lain akan dimusnahkan, seperti bandar kami,” kata pelajar Sekolah Tinggi Santa Fe, Megan McGuire.

Dia bercakap pada satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh kontinjen ‘March for Our Lives’ dari Houston – pergerakan kawalan senjata api peringkat akar umbi yang dimulakan oleh golongan remaja selepas satu lagi serangan di sekolah pada Februari lalu di Parkland, Florida.

Pelajar Texas berkenaan berkata mereka mahukan pembaharuan keselamatan sekolah dan kesihatan mental, selain sekatan senjata api “berakal”, seperti mandat undang-undang untuk penyimpanan senjata api yang selamat di dalam rumah selain pemeriksaan latar belakang yang lebih ketat bagi pembelian senjata api.

Kempen mereka bercanggah dengan kebanyakan reaksi umum kepada serangan di negeri konservatif itu, di mana hak pemilikan senjata api dilindungi dengan ketat dan kempen pemilihan semula Gabenor Greg Abbott menganjurkan jualan rafel bagi selaras senapang patah sebelum menukar haluan selepas tragedi berkenaan berlaku.

Abbott mengadakan perbincangan selama tiga hari pada minggu ini mengenai cara untuk mencegah serangan di sekolah dengan lebih baik.

Di antara mereka yang dijemput adalah pelajar dan pendidik, selain aktivis daripada kedua-dua pihak dalam perdebatan mengenai kawalan senjata api.

“Kami tidak akan tunduk. Ini bukan satu perkara seminggu. Kami tidak akan membiarkan sesiapa melupakan perkara ini,” kata Bree Butler, seorang pelajar senior di Sekolah Tinggi Santa Fe.

Pelajar terbabit menjanjikan siri tindakan awam yang tidak dinyatakan pada musim panas nanti.

Sementara itu, acara peringatan dirancang di Santa Fe dan komuniti sekitar sehingga Selasa depan ketika mangsa yang terkorban dikebumikan.

Di acara pengebumian Christian Riley Garcia, remaja itu dipuji sebagai seorang wira kerana menahan pintu untuk memastikan lelaki bersenjata terbabit tidak dapat masuk.

“Dia mempamerkan keberanian yang melangkaui usianya. Dia sendiri memastikan semua orang keluar terlebih dahulu, dan dirinya yang terakhir,” kata obituarinya, yang dibaca dengan lantang di acara pengebumiannya. — AFP

Advertisement