Anda di sini

MABkargo dapat satu lagi penerbangan carter

Advertisement
 Gambar menunjukkan Ketua Pegawai Operasi MABkargo, Mohd Zulkefly Ujang (kanan) dan Head of MABkargo Freighter, Che Adenan Che Wan (kiri) yang mengetuai pasukannya, berjaya mendapat satu lagi penerbangan carter di Bintulu, semalam.
TERUS MARA: Gambar menunjukkan Ketua Pegawai Operasi MABkargo, Mohd Zulkefly Ujang (kanan) dan Head of MABkargo Freighter, Che Adenan Che Wan (kiri) yang mengetuai pasukannya, berjaya mendapat satu lagi penerbangan carter di Bintulu, semalam.

KUCHING: MAB Kargo Sdn Bhd (MABkargo) semalam mendapat satu lagi penerbangan carter selepas berjaya melakukan pendaratan di Bintulu dengan muatan kargo hampir seberat 72 tan.

Carter itu untuk sebuah syarikat minyak dan gas global yang menggunakan tanda syarikat penerbangan rakan kongsi Silkway West, berasal dari Leipzig, Jerman.

Penerbangan 7L9203 mendarat di Lapangan Terbang Bintulu (BTU) pada jam 7.30 malam kelmarin selepas transit di Baku, Azerbaijan.

Pasukan MABkargo menjalankan proses perancangan terperinci untuk menyediakan muatan kargo untuk dipunggah dan diturunkan daripada B747-400F.

Untuk menyokong operasi jet jumbo tersebut di BTU, peralatan sokongan dibawa khas dari lapangan terbang Kuching dan Miri.

“Penerbangan carter bagi industri minyak dan gas sentiasa sangat mencabar dan biasanya mengemukakan kerumitan logistik. Dalam kes ini, kami perlu menyediakan lapangan terbang kecil untuk menerima pesawat besar.

“Dengan sokongan pasukan pengendalian darat yang baik dan pihak berkuasa lapangan terbang tempatan, kita telah berjaya melakukannya hari ini,” kata Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran MABkargo, Amiroel Shazrie Yussof dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata penerbangan carter amat sesuai untuk industri minyak dan gas kerana ia membolehkan pelanggan kami membuat jadual mereka sendiri menggunakan lapangan terbang yang paling menyenangkan.

“Selama ini, MABkargo telah mendapat pengalaman besar daripada menyelaras dan  menyampaikan peralatan minyak dan gas ke beberapa destinasi di seluruh dunia.

“Kami juga pernah mengendalikan banyak jenis penerbangan carter minyak dan gas, Grand Prix, peralatan konsert dan pergerakan ternakan adalah yang utama.

“Pengalaman kami dalam mengendalikan carter mewujudkan kekuatan khusus untuk kami dan telah mendapat kepercayaan kami. Sekarang, penerbangan carter adalah penjana pendapatan penting bagi  MABkargo,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement