
TAWAU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar tidak menolak kemungkinan untuk memperkenalkan polisi baharu yang sesuai untuk melonjakkan sektor pelancongan di Sabah.
Menterinya, Christina Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata pelbagai aspek menjadi perhatian beliau bersama-sama dengan pegawai-pegawai di kementeriannya.
“Saya tidak bekerja bersendirian tetapi turut bergantung dengan pasukan saya dalam kementerian, kami sentiasa mengadakan perbincangan dalam tempoh dua minggu ini.
“Saya berharap pasukan saya dalam kementerian terus memberikan sokongan untuk merancang, merangka dan mengembangkan sektor pelancongan di Sabah,” katanya.
Christina berkata peranan pemain industri seperti agensi pelancongan juga penting untuk memastikan misi membuka pasaran pelancongan di Sabah melangkaui peringkat global.
Malah, beliau juga percaya kementerian perlu menjalin kerjasama yang baik dengan pemain-pemain industri untuk memastikan segala perancangan yang diatur dapat dicapai.
“Misalnya, penduduk di China kini seramai 1.3 bilion orang dan kalau kita boleh menarik walau satu peratus sahaja pelancong dari negara itu, sudah cukup bagus,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyedari trend pelancong dari China dan Eropah yang datang melancong di negeri ini mempunyai perbezaan pengisian masa dan citarasa tarikan.
Menurutnya, pelancong China lebih gemar melancong dalam masa singkat antara tiga hingga lima hari tetapi mengikuti pengisian jadual aktiviti ataupun program yang padat.
“Berbeza dengan pelancong dari Eropah yang lebih santai dan biasanya meluangkan masa lebih lama untuk menikmati suasana destinasi pelancongan di negeri ini.
“Begitu juga, apabila kita mahu ‘menjual’ produk pelancongan, kita juga perlu mengetahui dan memahami produk serta potensi pelancongan yang ada,” katanya.
Beliau berkata usaha mengenalpasti lokasi-lokasi baharu untuk sektor pelancongan di negeri perlu dilakukan secara berterusan selain mengemaskini lagi produk sedia ada.
Menyentuh mengenai status Tawau sebagai transit pelancong ke Semporna pula, Ahli Parlimen Tawau itu berkata usaha sudah dimulakan untuk mengajak pelancong meluangkan masa di daerah ini.
“Kita tidak boleh paksa (pelancong datang ke Tawau), tetapi kita boleh tawarkan mereka pakej pelancongan (jadual aktiviti yang turut melibatkan daerah ini selain Semporna).
“Perkara ini harus dimainkan oleh agensi pelancongan yang membawa pelancong untuk memasukkan dalam jadual supaya mereka boleh tinggal di sini, dan ini sudah bermula.
“Jangan sekadar menjadikan Tawau sebagai transit untuk pelancong ke Semporna, kerana kita mahu ada tempias ekonomi yang boleh turut dinikmati oleh warga di sini,” katanya.
Christina berkata kerajaan sedia menjalin kerjasama dengan pemain-pemain industri yang terlibat untuk menggalakkan pelancong luar negara singgah dan berbelanja di Tawau.
Menyentuh hal berkaitan, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Majlis Perbandaran Tawau untuk mewujudkan Pasar Kebudayaan dibina di Bandar Tawau.
“Kita akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan bangunan itu nanti akan menempatkan semua etnik tempatan supaya dapat menawarkan kraftangan.
“Kita harap premis itu menjadi lokasi tumpuan kerana jika pelancong mahu mendapatkan kraftangan tempatan di sini, Tawau belum ada berbanding di Kota Kinabalu,” katanya.