Anda di sini

Jurujual telefon bimbit cedera ditembak di Bukit Mertajam

Advertisement
 Anjing pengesan dari Unit K9 melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan seorang lelaki berusia 22 tahun yang ditembak di Jalan Sentosa, Bukit Mertajam, semalam. — Gambar Bernama
PEMERIKSAAN: Anjing pengesan dari Unit K9 melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan seorang lelaki berusia 22 tahun yang ditembak di Jalan Sentosa, Bukit Mertajam, semalam. — Gambar Bernama

BUKIT MERTAJAM: Seorang jurujual telefon bimbit cedera pada bahagian lengan dan bahu kanan serta paha selepas ditembak seorang lelaki dalam kejadian di lampu isyarat di Jalan Sentosa berhampiran medan selera Taman Sentosa, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan baharu saja keluar dari medan selera Sentosa Corner selepas bersarapan bersama rakannya dan masuk ke dalam kereta jenis Honda Accord untuk pulang ke rumah di Machang Bubok, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Sentosa, di sini seorang lelaki dengan muka bertutup yang berada di dalam sebuah kereta muncul secara tiba-tiba dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta mangsa sebelum melarikan diri.

“Mangsa berjaya keluar dari kereta tersebut. Ketika itu kereta itu menggelongsor ke depan dan melanggar sebuah kereta Toyata Hilux.   

“Mangsa telah dibantu oleh orang awam yang berada di medan selera berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Bukit Mertajam. Mangsa dalam keadaan selamat dan boleh bercakap. Mangsa kini dalam keadaan stabil,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini semalam.

Nik Ros Azhan berkata hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui 11 kelongsong peluru di jalan raya berhampiran kereta mangsa dan usaha mencari suspek sedang dijalankan.

Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. — Bernama

Advertisement