Anda di sini

Jadikan perniagaan kerjaya yang boleh diwarisi keluarga

Advertisement
 Romeo (tengah), Evelyn (dua kanan), Beby (kanan) serta yang lain memotong kek sebagai meraikan pembukaan sebuah kafe baharu di Sibu, malam kelmarin.
RAIKAN BERSAMA: Romeo (tengah), Evelyn (dua kanan), Beby (kanan) serta yang lain memotong kek sebagai meraikan pembukaan sebuah kafe baharu di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Masyarakat Dayak diseru supaya menjadikan perniagaan sebagai satu kerjaya yang boleh diwarisi turun ke temurun oleh keluarga.

Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong berkata, sesuatu perniagaan hendaklah diusahakan secara serius, bukannya melepaskan batok di tangga.

“Itu sebab kita mesti ada fokus sekiranya mahu mengusahakan sesuatu dan perlu berpandangan jauh.

“Perniagaan adalah bentuk kerjaya yang boleh menjana pendapatan kita. Oleh itu usahakannya bersungguh-sungguh agar ia dapat dipertahankan sampai bila-bila seterusnya dapat diwarisi oleh anak-anak serta cucu-cicit kita di kemudian hari,” katanya berucap merasmikan sebuah kafe di sini, malam kelmarin.

Hadir sama ialah Penghulu Evelyn Holly Sebom serta pemilik kafe berkenaan, Beby Kropet.

Romeo berkata, sekarang sudah tibanya masyarakat Dayak berubah dari segi corak perniagaannya dan tidak semata-mata bergantung kepada cara lama.

“Sekarang zaman digital di mana kita boleh menggunakan pelbagai cara bagi kita memperluaskan perniagaan atau memperomosikannya.

“Jangan mengamalkan konsep duduk sahaja menunggu pelanggan dan buatlah sesuatu yang boleh menarik para pelanggan,” tegasnya.

Romeo memberitahu, mempunyai pemikiran kreatif juga dapat menjamin perniagaan berkembang dengan pesat.

Jelasnya, pemikiran harus berubah untuk mencari jalan menarik lebih ramai pelanggan.

“Sentiasa perkembangkan idea serta berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang positif untuk impak perniagaan anda.

“Walaupun perniagaan ini ada wujudnya untung rugi yang merupakan adat perniagaan namun tidak salah untuk anda ‘melabur’ sedikit untuk menarik perniagaan bagi keuntungan berterusan.

“Sebagai peniaga, kita mesti berani menghadapi risiko kerana ia boleh memotivasikan anda untuk berjaya pada masa akan datang,” tambahnya.

Perasmian kafe itu dimeriahkan dengan kehadiran Nightstreet Band diketuai oleh penyanyi popular Iban Stevenson yang diundang khas.

  • oleh
  • Advertisement