Anda di sini

Iniesta buat penampilan pertama di Vissel Kobe

Advertisement
 Iniesta bertemu dengan peminat muda semasa sesi pengenalan di Stadium Noevir di Kobe, Tokyo. — Gambar AFP
SAMBUTAN BAIK: Iniesta bertemu dengan peminat muda semasa sesi pengenalan di Stadium Noevir di Kobe, Tokyo. — Gambar AFP

KOBE: Legenda Barcelona, Andres Iniesta, semalam membuat penampilan pertama di Vissel Kobe sejak dia menandatangani kontrak untuk menyertai kelab Jepun itu, dengan menyapa ribuan peminat dan berikrar untuk menjadikan kelab baharunya yang terbesar di Asia.

Dengan memakai jersi nombor lapan – seperti di Barcelona – pemenang Piala Dunia berusia 34 tahun itu menghadiri satu majlis untuk mengalu-alukan ketibaannya di stadium kelab Liga J itu di bandar raya pelabuhan barat, Kobe, bersama pemilik pasukan Hiroshi Mikitani.

“Ini adalah satu cabaran yang besar bagi saya,” kata Iniesta kepada kira-kira 4,000 peminat menerusi seorang penterjemah dua hari selepas dia menandatangani kontak di satu majlis pengenalan yang gilang-gemilang di Tokyo.

Dia mempamerkan teknik menimbang bola dan menendang bola sepak kepada hadirin, yang menggembirakan peminat.

“Saya mahu menyumbang kepada pasukan sebanyak mungkin,” kata Iniesta, yang dilaporkan sudah menyetujui perjanjian selama tiga tahun dengan gaji tahunan sebanyak $30 juta, satu rekod Liga J.   

“Saya rasa saya harus mengejar objektif terbaik dalam bola sepak dan kehidupan saya,” ujarnya, dan berkata dia mahu Vissel memenangi liga dan “jika boleh, menawan Asia”.

Pemain tengah itu, yang menjaringkan gol kemenangan Sepanyol ketika menentang Belanda dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2010, menjulang 32 piala penting dan membuat 674 penampilan untuk Barcelona.

Keputusan ikon Sepanyol itu untuk memilih Kobe mungkin merupakan kejayaan perpindahan terbesar bagi bola sepak Jepun, kerana ramai pemain terkemuka sekarang pergi ke kelab yang kaya di China pada hujung karier mereka.

Iniesta menyatakan awal bulan ini bahawa perpindahan ke kelab di China juga merupakan satu pilihan untuknya.

Penyertaannya merupakan dorongan yang tepat pada waktunya bagi Liga J, yang pernah menarik pemain masyhur seperti legenda Brazil, Zico, dan bekas bintang England, Gary Lineker, ketika ia bermula pada 1993 tetapi menghadapi kesukaran untuk menarik pemain ternama sejak beberapa tahun lalu.

Selepas Piala Dunia di Rusia, Iniesta akan disertai bekas penyerang Arsenal, Lukas Podolski, di Vissel, sekarang menduduki tempat keenam dalam divisyen pertama dalam Liga J selepas 15 perlawanan. — AFP

Advertisement