Anda di sini

Gelaran pasukan bukan pilihan pembakar semangat Nigeria

Advertisement
OBI
OBI

UYO: Nigeria dapat melangkaui jangkaan di kejohanan akhir Piala Dunia dengan mempamerkan kerja berpasukan dan semangat juang sama yang membawa mereka ke Rusia, kata kapten Mikel John Obi kelmarin.

The Super Eagles kini menduduki tempat ke-47 dalam ranking dunia FIFA – yang terendah di kalangan pasukan dalam Kumpulan D, Argentina (tempat kelima), Croatia (tempat ke-18) dan Iceland (tempat ke-22).

Namun Obi, bekas bintang Chelsea, berkata perkara itu boleh mendorong The Super Eagles untuk memperbaiki pencapaian terbaik mereka pada masa lalu dalam kejohanan itu, iaitu peringkat 16 teratas.

“Menjadi pasukan bukan pilihan adalah bagus bagi kami. Ia bermakna kami perlu berusaha dengan lebih gigih lagi, kami perlu rendah hati,” kata pemain tengah yang berpengalaman itu, yang bakal bermain dalam Piala Dunia keduanya, di satu sidang akhbar.

“Ia bermakna kami dapat melakukan dengan lebih baik daripada apa yang orang jangkakan daripada kami.”

Dia menambah: “Kami perlu melakukan dengan lebih baik daripada apa yang kami pernah lakukan sebelum ini. Ia pasti sukar kerana kami berada dalam kumpulan yang sukar, maka itu perlawanan pertama kami (menentang Croatia) sangat penting.

“Ia adalah penting bagi kami untuk memenangi perlawanan itu.”

Nigeria berada di kota tenggara Uyo untuk bersiap sedia bagi perlawanan pemanas badan menentang Republik Demokratik Congo di Port Harcourt esok (Isnin).

Obi berkata pasukannya telah menunjukkan semangat juang untuk layak di tempat pertama dari kumpulan sukar yang turut terdiri daripada juara Afrika, Cameroon, dan Algeria.

“Satu perkara yang akan membantu kami ialah kami perlu bersatu, bermain sebagai satu pasukan, dan semangat juang yang kami ada selama ini, kami perlu menunjukkannya di Rusia,” katanya.

“Kami perlu meneruskan apa yang kami sudah buat. Kami adalah pasukan yang muda dan bertenaga. Kami pergi sebagai satu, Nigeria dan pasukan didahulukan.” — AFP

Advertisement