Anda di sini

Gawai Dayak Bazaar digalak diadakan pada skala besar

Advertisement
 Penguang menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima terlibat menjayakan Gawai Dayak Bazaar 2018 sambil disaksikan oleh Vicky (kiri) dan Ganda di Miri kelmarin.
PENGHARGAAN: Penguang menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima terlibat menjayakan Gawai Dayak Bazaar 2018 sambil disaksikan oleh Vicky (kiri) dan Ganda di Miri kelmarin.

MIRI: Program Gawai Dayak Bazaar digalak diadakan pada berskala besar dalam usaha menjadikannya sebagai salah satu tarikan pelancongan selain membantu meningkatkan ekonomi tempatan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, program itu sentiasa mendapat sokongan menggalakkan daripada masyarakat Dayak.

“Menerusi penganjuran Gawai Dayak Bazaar kita bukan sahaja mempromosikan produk jualan masing-masing, malah keunikan kaum Dayak boleh dilihat daripada barangan dijual seperti makanan tempatan, kraf tangan, kain tenun dan sebagainya.

“Secara langsung program ini dapat menunjukkan kepada masyarakat luar bahawa terdapat etnik Dayak masih mengekalkan keunikan kaum itu sendiri,” katanya pada majlis penutupan Gawai Dayak Bazaar Miri 2018 anjuran Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) di sini kelmarin.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Victor Temenggong, Ketua Masyarakat Iban Miri Pemanca Wilson Siang, Presiden GADS Vicky Gulin Shandom, Penasihat Undang-Undang GADS Robert Pasang Alam, Pengerusi Pengelola, Ganda Anyum serta tetamu lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu berkata, penganjuran Gawai Dayak Bazaar turut menjadi landasan kepada masyarakat Dayak berkumpul di samping membantu menambah pendapatan masing-masing.

“Ini juga sebahagian objektif kita melihat rakyat khususnya kaum Dayak untuk melangkah ke hadapan,” katanya sambil memuji usaha GADS menganjurkan Gawai Dayak Bazaar empat tahun berturut-turut itu.

“Tahniah dan syabas kerana menganjurkan program pra-Gawai begitu meriah serta mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan 45 gerai.

“Diharapkan sokongan dan penglibatan ini diteruskan untuk anjuran Gawai Dayak Bazaar tahun depan,” katanya.

Gawai Dayak Bazaar 2018 berlangsung dari 2 Mei hingga 26 Mei merupakan acara tahunan diselitkan dalam kalendar Miri May Fest 2018 sempena Tahun Melawat Miri 2018.

  • oleh
  • Advertisement