Anda di sini

Anggota di beberapa balai polis sekitar Kuching terima coklat

Advertisement
 (Dari kiri) Irwan, Wee, Nurul Bashirah, Yap dan Sean merakamkan kenangan di hadapan Balai Polis Sentral.
TERIMALAH: (Dari kiri) Irwan, Wee, Nurul Bashirah, Yap dan Sean merakamkan kenangan di hadapan Balai Polis Sentral.

KUCHING: Anggota polis di beberapa balai polis sekitar bandar raya semalam dikejutkan dengan penghantaran coklat oleh orang awam.

Inisiatif yang dilakukan secara sukarela oleh rakyat itu merupakan acara ‘Jom Bagi Coklat Kat Abang dan Akak Polis #chocs4cops’ dimulakan di Kuala Lumpur oleh peguam dan aktivis, Siti Kasim serta bekas wartawan, Sidek Kamiso.

Ia merupakan maklum balas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat aduan melalui peguamnya bahawa anggota polis didakwa meminta makan dan memakan coklat daripada peti sejuknya semasa serbuan di kediamannya minggu lepas.

Sementara itu, semalam turut menyaksikan inisiatif penyerahan coklat oleh arkitek, Min Wee serta isterinya Samantha Yap dan anak mereka, Sean Wee yang singgah di Balai Polis Sentral.

Ditanya mengapa mereka berbuat demikian, Wee berkata, ia adalah atas semangat.

“Ia satu perkara positif yang perlu dilakukan dan semua orang melakukannya di seluruh Malaysia. Kami tidak mahu Sarawak ketinggalan, “katanya.

Kata beliau, menariknya ramai di kalangan rakan-rakan mereka lain teruja dengan idea itu dan turut membeli coklat.

“Orang ramai sangat bermurah hati,” katanya.

Pegawai di Balai Polis Senteral pada mulanya agak berhati-hati, namun menerima coklat terbabit selepas mendengar penjelasan mengenai lawatan berkenaan.

Mereka yang menerima coklat berkenaan, Korporal Nurul Bashirah Abdullah dan Korporal Irwan Shah Abdullah.

Sehingga kini, lebih 3,000 pengguna Facebook berdaftar menunjukkan minat menyertai laman peristiwa Facebook berkenaan dengan merancang memperluaskan penyediaan coklat sehingga Sabtu depan agar lebih banyak balai polis menerimanya.

Di Kuching, ramai di kalangan masyarakat juga melalui laman peristiwa Facebook terbabit turut mendakwa menyerahkan coklat ke Balai Polis Sekama, Balai Polis Sungai Maong, Balai Polis Simpang Tiga, Balai Polis Gita dan Balai Polis Batu 7.

Advertisement